JURULATIH skuad raifal negara, Mohd Sabki Moh Din menyuarakan hasrat untuk menjalankan kem latihan bersama dengan pasukan China, dalam usaha untuk meningkatkan ketepatan bidikan penembak negara.

Menurutnya, beliau telah berjumpa dengan pihak jurulatih dan pengurus pasukan China di Lapang Sasar Jakabaring di sini untuk mengemukakan cadangan untuk mengadakan latihan bersama itu sama ada di China atau di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang.

 “Kita nak cuba minta China untuk mengadakan latihan bersama skuad kita, sama ada di Malaysia atau di China. Jika di Malaysia, kita boleh menyediakan tempat tinggal di Majlis Sukan Negara (MSN) dan hanya membayar pengangkutan mereka ke Subang.

“Tadi saya ada jumpa mereka untuk bincang, mereka macam berminat tetapi perbincangan masih di peringkat awal dan belum ada apa-apa keputusan lagi. Latihan bersama pasukan itu mampu meningkat prestasi atlet kita, lebih-lebih lagi apabila penembak kita tidak ada banyak kejohanan.

“Ia sangat membantu untuk meningkatkan prestasi dan teknik penembak kita untuk bersaing di peringkat Asia dan antarabangsa,” katanya kepada Bernama di sini.

Skuad negara sebelum ini menjalin kerjasama dengan pasukan Korea Selatan selama hampir dua tahun dengan mengadakan kem latihan di Changwon dan Subang.

China jelas menguasai lapang sasar Sukan Asia 2018 di sini apabila meraih lima pingat emas dan sebutir perak daripada lapan pingat emas yang ditawarkan setakat ini.

Kontinjen Malaysia pula masih belum mampu memecahkan kebuntuan apabila tiada seorang pun penembak negara yang mampu mara ke pusingan akhir, apabila kesemuanya terkandas di peringkat kelayakan dalam tujuh acara yang disertai setakat ini.

Sementara itu, atlet air pistol negara, Jonathan Wong Guanjie tidak menolak kemungkinan bahawa kekurangan kejohanan domestik di Malaysia merupakan salah satu sebab penembak negara tidak menjadi pencabar pingat utama di peringkat Asia.

“Persaingan di Malaysia sebenarnya agak penting untuk bangunkan atlet-atlet kerana kalau kurang persaingan, ia akan menyebabkan semuanya terjejas. Jadi, untuk meningkatkan tahap daya saing dalam kalangan atlet tempatan, perlu ada lebih banyak kejohanan domestik,” kata Olimpian itu apabila diminta mengulas tentang kepentingan kejohanan tempatan.

Sebagai rekod, pada edisi Sukan Asia sebelum ini di Incheon, Korea Selatan, Malaysia membawa pulang dua perak dan satu gangsa, pencapaian terbaik skuad menembak negara di temasya kedua terbesar di dunia itu. - Bernama