PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao melakukan kejutan awal apabila menyingkirkan pemain pilihan kelapan yang juga rakan senegara, Zulfadli Zulkifli untuk mara ke pusingan kedua Thailand Masters, hari ini.

Aksi  pusingan pertama di Bangkok itu, Jun Hao terpaksa bekerja keras selama 58 minit sebelum menunjukkan jalan keluar kepada pemain yang lebih senior itu dengan keputusan straight set 24-22, 21-19

Walaupun dia sendiri terkejut dengan kemenangan itu, namun Jun Hao percaya corak permainan berbeza yang ditampilkan telah menjejaskan rentak Zulfadli.

“Memang tidak sangka boleh menang... apa pun saya sangat gembira dan ia beri keyakinan untuk berdepan pusingan kedua esok,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kejayaan itu menyaksikan  pemain berusia 19 tahun itu bakal berdepan sama ada pemain Denmark, Kim Bruun atau Firman Abdul Kholik dari Indonesia.

Jun Hao berharap kemenangan ini dapat diulangi dengan rentak yang lebih baik.

Turut mara ke pusingan kedua ialah pemain perseorangan wanita, Soniaa Cheah selepas menundukkan pemain tuan rumah, Mattana Hemrachatanun 21-12, 21-14.

Beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut tidak menghampakan apabila menang ke atas pasangan Perancis, Bastian Kersaudy-Julien Maio 21-7, 21-18 dan akan membuat perhitungan dengan beregu Australia Matthew Chau-Sawan Serasinghe.