PENDAHULU Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan penguasaan di persada liga setelah mencatat kemenangan ke-12 dari 16 perlawanan dengan menewaskan Sarawak 3-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Johor Bahru, malam tadi.

Penyerang berbisa, Mohammad Ghaddar muncul wira skuad Harimau Selatan apabila menyumbat dua gol pada minit ke-11 dan 15 sebelum Muhd Safawi Rasid menjaringkan gol ketiga pada minit ke- 77 untuk JDT membawa pulang tiga mata penuh manakala jaringan sagu hati Sarawak dijaringkan oleh Mohd Sahil Suhaimi pada minit ke-63.

Pada aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah terpaksa berkongsi mata dengan Selangor setelah mencatat keputusan seri 1-1 dan kekal di tangga kedua liga.

Jaringan skuad Lang Merah disumbangkan oleh penyerang dari Denmark, Ken Ilso Larsen pada minit ke- 16 manakala jaringan penyamaan The Red Giant dihasilkan oleh S. Veenod pada minit ke-29 yang menyaksikan keputusan itu kekal sehingga masa permainan tamat.

Wakil kelab, Felda United mengamuk di halaman sendiri apabila mengaibkan T-Team 5-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

Gol The Fighter dijaringkan oleh Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-23 dan jaringan hatrik Thiago Agusto (minit 46, 58, 78) serta Ifedayo Olesugun pada minit ke-88 sementara jaringan The Titan disumbangkan oleh Joseph Yannick pada minit ke-41.

Sementara itu, wakil pantai timur, Kelantan gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri selepas kecundang 0-2 kepada Perak pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Jaringan pasukan pelawat dihasilkan oleh Mohd Nazrin Nawi pada minit ke-28 dan penyerang prolifik dari Palestin, Yashir Pinto pada minit ke-80 untuk mengesahkan kemenangan skuad The Bos Gaurus.

Pada aksi di Stadium Shah Alam, Pahang berjaya mencuri tiga mata setelah membenam pasukan kelab, PKNS FC 3-1.

Anak buah Dollah Salleh membuka tirai jaringan pada minit ke-36 menerusi Sumareh Mohamadou sebelum penyerang utama Skuad Tok Gajah, Matheus Alves menyumbat dua lagi gol pada minit ke-62 dan 71 manakala gol PKNS dijaringkan oleh Muhammad  Aliff Haikal (minit 82).

Dalam pada itu, pasukan tercorot, Pulau Pinang berjaya bangkit daripada episod suram apabila merakam kemenangan kedua mengatasi Melaka 3-2 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Gol Pulau Pinang dijaringkan oleh Mohd Faiz Subri pada minit kelima, Mark Andrew Hartmann (minit 54) dan S. Kumaahran (minit 61) manakala jaringan Melaka disumbangkan oleh Marko Simic pada minit ke-35 dan 88. - Bernama

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JUARA bertahan, Kedah dan juara Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) menempah slot empat terbaik Piala Malaysia selepas berjaya menundukkan lawan masing-masing pada suku akhir kedua, sebentar tadi.
  • TUNKU Mahkota Johor TMJ Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menegaskan tiada bayaran yang dikeluarkan oleh pihaknya berhubung 'kemunculan' nama Kelab JDT yang tertera di Stadium Stamford Bridge.
  • Johor Darul Ta'zim (JDT) kini akan memberi tumpuan kepada saingan Piala Malaysia 2017, selepas sasaran menjuarai Liga Super berjaya dicapai.
  • HUJAN lebat tidak menghalang lebih 10,000 penyokong tegar Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk berhimpun di dataran bandaraya, di sini bagi meraikan kejayaan pasukan berkenaan menjulang trofi Liga Super buat kali keempat berturut-turut.
  • KELANTAN mengharapkan sekurang-kurangnya mampu mencuri satu mata apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, malam ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.