KEJAYAAN memperkukuh gelaran Juara Liga Super buat tahun kelima berturut-turut tidak menjadi alasan buat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk berehat seketika malah selesa dengan pencapaian terbabit.

Pengarah Sukan Kelab Bolasepak JDT, Martin Prest berkata, Harimau Selatan tidak menunggu lama apabila telah memulakan misi mencari pemain bagi memastikan saingan tahun depan dapat dikekalkan dengan momentum terbaik.

“Kami begitu jelas dengan matlamat kami sejak dari awal musim walaupun kami menghadapi banyak masalah. Ketika ramai penyokong kami sedang meraikan kejuaraan liga kali kelima berturut-turut, pihak pengurusan telah membuat keputusan untuk memperbaiki lagi skuad pada tahun hadapan.

Ini kerana kami lihat terdapat banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik laman Facebook Johor Southern Tigers, sebentar tadi.

JDT diumumkan Juara Liga Super 2018 selepas tamat perlawanan menentang Perak yang mana menyaksikan skuad kendalian Raul Longhi itu berjaya memperoleh kemenangan 2-1 di laman lawan.

Ia menyaksikan Skuad Harimau Selatan kekal berada di tangga pertama liga dengan mengumpul 47 mata selepas mengharungi 18 perlawanan.

Berhubung kejayaan terbabit juga, Prest dengan nada keras membidas sekiranya ada pandangan segelintir pihak luar yang mahu mewujudkan spekulasi bahawa kejayaan itu hanya diperoleh JDT kerana saluran tertentu.

“Ada juga segelintir pihak luar yang cuba mempertikaikan kejayaan dicapai JDT dengan mengatakan kelab ini menggunakan saluran tertentu untuk menukar undang-undang demi mencapai kejuaraan.

“Saya ada beberapa soalan untuk mereka, apabila JDT menang tiga kali berturut-turut sebelum Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan mempunyai kaitan dengan Malaysia Football League apakah jawapan mereka?

“Kejayaan adalah kejayaan, rekod adalah rekod, sejarah adalah sejarah, perkara itu tidak boleh diubah,” katanya.

Untuk rekod, JDT merupakan pasukan pertama dalam sejarah bolasepak Malaysia apabila menggondol Piala Liga Super buat lima tahun berturut-turut semenjak 2014 lalu.