TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menegaskan tiada bayaran yang dikeluarkan oleh pihaknya berhubung 'kemunculan' nama Kelab JDT yang tertera di Stadium Stamford Bridge.

Jelas baginda, sebabnya kerana baginda mempunyai ramai kenalan yang rapat dengannya.

"Satu sen pun saya tidak bayar. Tetapi kenapa ia boleh terjadi? Ia kerana mereka adalah sahabat saya. Saya mempunyai ramai sahabat.

"Saya bagi contoh. Pada dulu ketika Gary Steven Robat digantung oleh FAM, saya telah menghantar beliau berlatih di Borussia Dortmund tanpa apa-apa bayaran. Kerana sahabat saya adalah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Pembangunan Akar Umbi Borrusia Dortmund, Edwin Boekamp," katanya petik kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers.

Jelas baginda lagi, baginda juga tidak membayar satu sen ketika JDT menghantar skuad remaja JDT ke Valencia kerana pemilik kelab tersebut adalah sahabat baiknya iaitu Peter Lim.

"Ketika JDT mengadakan perlawanan pra-musim awal musim 2017 di Thailand, saya juga tidak mengeluarkan apa-apa duit melainkan kos kapal terbang sahaja disebabkan kawan saya, pemilik Buriram United, Newin Chidchob yang telah menjaga makan minum termasuk hotel penginapan kami semua," ujarnya.

Kata baginda lagi, baru-baru ini sahabat baru saya iaitu Pairoj Piempongsant, daripada syarikat Carabao Co. Ltd ingin mengucapkan tahniah kepada saya dan JDT dengan meletakkan ucapan tersebut di LED board Stadium Stamford Bridge.

"Jadi, kepada anda semua yang mengatakan semua benda perlu menggunakan duit, ada perkara yang saya capai dengan duit dan banyak perkara saya capai tanpa mengeluarkan duit," katanya.

Kata baginda lagi," inilah pendidikan yang ingin saya kongsikan kepada orang ramai yang saya hormati sekalian.

"Sebelum kita buka mulut, kita fikir dahulu. Tidak semua perkara perlu duit atau mungkin mereka yang selalu mengatakan perkara sebegini adalah mereka yang sudah selalu terima 'dedak' politik," katanya.