JUARA Piala AFC 2015, Johor Darul Ta'zim (JDT) merampas kedudukan pendahulu kumpulan F setelah menumpaskan pencabar terdekat, Global FC 4-0 dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFC di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri ternyata memberikan kelebihan kepada skuad kendalian Benjamin Mora apabila berjaya memperoleh dua gol hasil jaringan Mahali Jasuli dan Safiq Rahim hanya pada babak pertama permaianan.

Harimau Selatan yang terpaksa bermula perlahan ekoran menyesuaikan diri dengan pertukaran pemain menjadikan aksi kelihatan hambar namun dilihat bangkit memberi tentangan 20 minit selepas wisel pertama dibunyikan.

Gawang tuan rumah terlebih dahulu diuji  apabila penyerang lawan, Hikaru Minegishi yang berjaya membolosi barisan 'back four' sekali gus melepaskan sepakan ke arah jaring gol tetapi dinafikan  pengadil perlawanan kerana 'offside'.

Tirai jaringan akhirnya dibuka tuan rumah, apabila pertahanan JDT, Mahali Jasuli meledak rambatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-30 hasil hantaran Safiq Rahim gagal ditepis penjaga gol.

Safiq Rahim sekali lagi memainkan peranan penting pada permaian tersebut apabila menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan pengadil setelah Hazwan Bakri dikasari Manuel Santos Aguinaldo pada minit ke-33.

Pasukan lawan kemudiannya cuba memberi tentangan balas dengan melancarkan serangan balas namun sekadar terhenti di bahagian tengah apabila gagal menembusi kekentalan benteng pertahanan JDT.

Bermula babak kedua, JDT sekali pagi mengasak gawang lawan menerusi gerakan cantik yang dihasilkan Gabriel Guerra dan Hazwan Bakri namun gagal menemui sebarang penyudah.

Gabriel Guerra sekali lagi mencuri tumpuan apabila tandukannya hasil sepakan sudut yang diambil Safiq pada minit ke-69 nyaris menerjah jaring gol namun sempat dikeluarkan penjaga gol, Patrick Deyto.

Buntu mencari gol, penyerang Global FC, Hikaru Minegishi kemudiannya melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-73 namun sepakan tersebut sekadar melepasi palang.

Peluang keemasan sekali lagi disia-siakan Global FC apabila pemain tengah, Shu Sasaki berjaya melepaskan sepakan setelah membolosi gawang JDT tetapi berjaya diselamatkan Izham Tarmizi pada minit ke-82.

Belum sempat, lawan menghela nafas lega, pemain gantian Harimau Selatan, Brian Farreira menambah derita pasukan tersebut apabila dengan mudah melorongkan bola ke pintu gol selepas menerima hantaran Gabriel Guerra dua minit selepas gol ketiga.

Marcos Antonio menutup tirai perlawanan dengan gol keempat JDT apabila menanduk masuk bola hasil hantaran sepakan percuma yang diambil Gabriel Guerra pada minit kecederaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENJAGA gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan menyifatkan siri perlawanan persahabatan pramusim JDT di Thailand bakal menentukan hala tuju skuad ‘Harimau Selatan’ dalam menghadapi saingan musim 2018 yang lebih mencabar.
  • PEMAIN pertahanan tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohammad Fadhli Shas yakin kehadiran beberapa pemain baharu dalam skuad Harimau Selatan mampu menyuntik semangat kepada mereka untuk memburu lebih banyak kejuaraan pada musim depan.
  • PENYERANG kelahiran Argentina, Jorge Pereyra Diaz memasang impian untuk muncul sebagai penjaring gol terbanyak bagi kali kedua dalam Liga Super Malaysia selepas kembali semula ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
  • Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan kehadiran pertahanan baharu dari Brazil, Bruno Gabriel Soares bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
  • PEMAIN baharu Johor Darul Ta'zim (JDT) Adam Nor Azlin tekad mahu menggunakan Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 pada 9 hingga 27 Januari ini untuk menarik perhatian pengendali JDT, Ulisses Morais, lapor MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY.