JUARA bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal membuat perhitungan dengan Pahang apabila kedua-dua pasukan diundi bertemu di suku akhir Piala FA.     

JDT akan bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan untuk perlawanan pertama sebelum melayani kunjungan Pahang pada aksi kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.     

Pertemuan ini dianggap paling menarik daripada empat aksi suku akhir Piala FA edisi ini kerana membabitkan dua pasukan dalam kelompok atas Liga Super ketika ini. JDT kini berada di kedudukan ketiga liga, satu tangga di belakang Pahang.     

Pada majlis undian hari ini, juara tiga kali, Kedah pula diundi bertemu pasukan sedang meningkat naik, PKNP FC pada aksi pertama di Stadium Darul Aman, Kedah.

Terengganu pula akan berdepan pasukan kedua tercorot Liga Super, Sarawak di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin manakala Sabah akan bertemu peneraju takhta Liga Perdana 2017, Negeri Sembilan di Stadium Likas, bagi aksi pertama masing-masing.     

Aksi suku akhir Piala FA dijalankan secara timbal balik dengan perlawanan pertama dijadual berlangsung pada 31 Mac dan 1 April manakala aksi kedua pada 21 dan 22 April.

Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata setiap pasukan yang layak ke suku akhir perlu dihormati dan menggesa anak buahnya terus mengekalkan rentak cemerlang pada setiap perlawanan.     

"Kami perlu menghormati setiap pasukan yang layak ke peringkat suku akhir ini. Saya harap semua pemain saya dapat mengekalkan fokus serta disiplin yang tinggi pada setiap perlawanan.

"Sudah tentu kami juga perlu meningkatkan tahap permainan dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita pada majlis undian tersebut. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENJAGA gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan menyifatkan siri perlawanan persahabatan pramusim JDT di Thailand bakal menentukan hala tuju skuad ‘Harimau Selatan’ dalam menghadapi saingan musim 2018 yang lebih mencabar.
  • PEMAIN pertahanan tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohammad Fadhli Shas yakin kehadiran beberapa pemain baharu dalam skuad Harimau Selatan mampu menyuntik semangat kepada mereka untuk memburu lebih banyak kejuaraan pada musim depan.
  • PENYERANG kelahiran Argentina, Jorge Pereyra Diaz memasang impian untuk muncul sebagai penjaring gol terbanyak bagi kali kedua dalam Liga Super Malaysia selepas kembali semula ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
  • Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan kehadiran pertahanan baharu dari Brazil, Bruno Gabriel Soares bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
  • PEMAIN baharu Johor Darul Ta'zim (JDT) Adam Nor Azlin tekad mahu menggunakan Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 pada 9 hingga 27 Januari ini untuk menarik perhatian pengendali JDT, Ulisses Morais, lapor MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY.