JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berjaya menundukkan Kelantan 4-0 dalam aksi di Stadium Larkin, sebentar tadi.

Lebih malang, kejayaan JDT tersebut sekali gus menambah derita buat Kelantan yang kini berada di kedudukan tercorot carta liga untuk mengintai peluang keluar daripada zon penyingkiran saingan liga musim hadapan.

Aksi bermula agak perlahan apabila kedua-dua pasukan hanya menguji kemampuan masing-masing namun mula panas apabila Kelantan melancarkan serangan terlebih dahulu menerusi penyerangnya, Cristiano Marcolino Santos.

Tuan rumah kemudiannya berpeluang memperoleh jaringan pertama pada minit ke-40 apabila Fernando Marquez merembat masuk bola hantaran Gonzalo Cabrera namun berjaya diselamatkan penjaga gol.

Peluang JDT sekali lagi hadir pada minit ke-43 apabila pasukan tersebut diberikan sepakan percuma apabila pertahanan lawan menjatuhkan Gonzalo Cabrera, namun sepakan diambil Fernando Marquez sekadar melambung tinggi.

Beraksi di hadapan kira-kira 20,000 penonton, pasukan tuan rumah akhirnya memecah kebuntuan apabila rembatan kencang Fernando Elizari pada minit ke-50 gagal diselamatkan penjaga gol Kelantan.

Tempo perlahan yang digunakan Kelantan sekali lagi memakan diri apabila JDT menggandakan jaringan selepas Afiq Fazail dengan tenang menolak masuk gol hantaran Marcos Antonio lima minit selepas gol pertama.

Kemasukan Safiq Rahim pada minit ke-76 membawa kepada gol ketiga JDT apabila sepakan penjuru yang diambilnya berjaya disudahkan Safawi Rasid dua minit selepas itu.

Safiq kemudiannya melengkapkan jaringan tuan rumah kepada 4-0 apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti diberikan pengadil selepas S Kunanlan dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-85.

Terdahulu, skuad bimbingan Raul Longhi itu mengesahkan kejuaraan setelah menundukkan Perak 2-1 di Stadium Ipoh pada 10 Julai lalu ketika saingan masih berbaki empat perlawanan lagi.

Penyerahan piala Liga Super disempurnakan oleh Presiden Kelab JDT, Tunku Aminah Sultan Ibrahim.