MANCHESTER United memastikan misi pemburuan Piala FA Inggeris musim ini terus bernyala apabila membenam cabaran juara 8 kali, Tottenham Hotspur 2-1 di Stadium Wembley, London awal pagi tadi.

Menyedari peluang untuk merangkul Piala FA, satu-satunya trofi kejuaraan musim ini yang masih dalam jangkauan, United bagaimanapun ketinggalan selepas 11 minit permainan apabila pemain tengah Spurs, Dele Alli meledak gol pertama untuk memberikan tekanan kepada skuad kendalian Jose Mourinho.

Namun, perjuangan The Red Devils kembali bernyala apabila pemain antarabangsa Chile, Alexis Sanchez menyamakan kedudukan hasil satu tandukan “placing header” selepas menerima hantaran Paul Pogba pada minit ke 24.

Separuh masa kedua, United terus garang memburu gol kemenangan.

Hasil satu serangan pantas, juara 2016 itu menggandakan jaringan, kali ini menerusi rembatan rendah pemain pertahanan, Ander Herrera pada minit ke 62 untuk kedudukan 2-1.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan, sekaligus bakal menyaksikan penampilan ke 20 United di pentas final Piala FA Inggeris.

United kini mengejar rekod kemenangan trofi Piala FA paling banyak yang dipegang Arsenal dengan 13 kejuaraan sementara mereka hanya ketinggalan satu lagi kejuaraan untuk menyamai rekod The Gunners.

Sementara Spurs terus kempunan mencari trofi kejuaraan Piala FA selepas kali terakhir merasai aksi final pada 1991.

Satu lagi perlawanan separuh akhir Piala FA melibatkan pertemuan Chelsea bertemu Southampton 10 malam nanti.