JURULATIH ping pong negara, Beh Lee Wei mengingatkan kepada dua pemainnya agar tidak terbuai dengan kejutan meraih pingat gangsa pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia yang berakhir Ahad lepas.

Lee Wei yang juga pemain kebangsaan, sebaliknya menggesa Ho Ying dan pendatang baharu, Karen Lyne menggandakan usaha dan sentiasa bekerja keras untuk menjadi pemain lebih baik pada masa hadapan.

“Sebenarnya mereka mempunyai kemahiran tetapi hanya kurang pengalaman beraksi di pentas antarabangsa. Saya berharap selepas mempamerkan prestasi terbaik di Sukan Komanwel, mereka boleh pergi lebih jauh terutama Karen yang memiliki potensi besar,” katanya.

Lee Wei berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tiba bersama skuad ping pong negara dari Gold Coast, Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini, awal pagi tadi.

Beliau berkata dengan kejayaan memenangi pingat gangsa, secara tidak langsung melenyapkan kritikan daripada pihak tertentu yang meragui kemampuan barisan pemain mudanya untuk melakar keputusan positif di Gold Coast.

Lee Wei berkata pemain kini perlu beralih tumpuan mereka terhadap Kejohanan Ping Pong Dunia 2018 pada akhir bulan ini di Sweden, sebelum menghadapi Kejohanan Terbuka Kadet dan Remaja Thailand di Bangkok dari 9 hingga 13 Mei.

“Kita akan menghantar kesemua pemain yang beraksi di Sukan Komanwel bagi memberi mereka lebih pendedahan menentang pemain terkemuka dunia, supaya mereka dapat memperbaiki prestasi pada masa depan,” katanya.

Ho-Karen mencipta kejutan meraih pingat gangsa acara beregu wanita apabila menewaskan pasangan India, M. Sutirtha-S. Pooja 15-13, 11-7, 8-11 dan 11-7.

Sebelum itu, pasangan Malaysia itu mengejutkan gandingan penyandang pingat perak dari Australia Miao Miao-Lay Jian Fang di suku akhir sebelum tumpas kepada pasangan terbaik India, Manika Batra-Mouma Das di separuh akhir. - Bernama