KEJAYAAN pemain tengah Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas Fifa 2016 di Zurich, Switzerland tidak sepatutnya dipersoalkan oleh sesetengah pihak, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

"Saya rasa yang bagi kritikan (terhadap kejayaan Faiz) ini, mereka tidak pernah menang anugerah peringkat dunia. Jadi sesiapa saja yang buat kecaman berkenaan benda yang remeh ini mungkin patut lihat kepada pengiktirafan yang Faiz sudah bawa kepada Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan Mohd Faiz dari Dubai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Beberapa pihak menerusi laman sosial, baru-baru ini menyifatkan jaringan cantik Mohd Faiz sebagai nasib selain mempersoalkan tindakan pemain berkenaan yang tidak memakai sepasang baju Melayu yang diberikan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan untuk Majlis Anugerah Bola Sepak Fifa 2016, dua hari lepas.

Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pula menyifatkan kejayaan Mohd Faiz sebagai bukan penanda aras baharu bola sepak negara yang turut mendapat pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak tanah air.

Jaringan menarik Mohd Faiz menerima undian sebanyak 59.46 peratus, sekali gus mengalahkan dua lagi calon - Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil yang mendapat 22.86 peratus dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela iaitu 10.01 peratus.

Mohd Faiz melakar jaringan cantik menerusi sepakan percuma semasa Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 16 Februari tahun lepas. –Bernama  
 

$content.code.value
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PEMENANG gol tercantik Anugerah Puskas Fifa 2016, Mohd Faiz Subri hari ini menerima pingat Ahli Cemerlang Semangat Jerai Kedah (A.S.K) daripada Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
  • PEMENANG Anugerah Puskas FIFA 2016, Faiz Subri menerima RM20,000 daripada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebagai penghargaan di atas kejayaan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
  • TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan kepada pemimpin politik supaya tidak mengambil kesempatan ke atas kemenangan Mohd Faiz Subri.
  • PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) berharap kejayaan merangkul Anugerah Puskas FIFA 2016 awal pagi semalam, tidak akan mengubah Mohd Faiz Subri, sebaliknya kekal fokus sebagai pemain profesional.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.