SKUAD Jang diingatkan tidak mengambil mudah cabaran bakal dihadapi pada suku akhir Piala FA walaupun diundi bertemu Sabah yang pernah ditewaskan dengan 3-0 dalam saingan Liga Perdana, 20 Januari lalu, lapor KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB.

Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Asri Ninggal berkata, situasi kali ini berlainan memandangkan pertandingan itu berkonsepkan kalah mati secara timbal balik di laman sendiri dan gelanggang lawan.

“(Saingan) Piala FA lain. Tidak macam Liga (Perdana). Lazimnya semangat setiap pasukan untuk menang lebih tinggi.

“Apatah lagi kita akan bertemu Sabah di Stadium Likas terlebih dulu. Jadi, kena berhati-hati. Lagipun masa kita lawan mereka sebelum ini, itu baru awal musim.

“Selepas menempuh beberapa perlawanan liga dan Piala FA, mungkin Sabah sudah bertambah baik sekarang,” katanya.

Justeru, katanya, banyak ‘kajian’ dan ‘kerja rumah’ yang perlu dibuat menjelang pertemuan antara kedua-dua pasukan.

“Memandangkan tiada perlawanan sehingga bertemu Sabah, setiap pemain diberikan peluang untuk berehat selama seminggu.

“Harapnya mereka akan kembali bukan sekadar dengan fizikal yang cergas, tapi juga dengan minda yang lebih segar,” katanya.

Mengulas persediaan menghadapi suku akhir pertama di tempat lawan yang dijangkakan pada 31 Mac atau 1 April depan, beliau berkata, barisan bakal dipertaruhkan kelak bergantung pada keadaan pemain.

“Hanya mereka yang betul-betul cergas akan diturunkan. Buat masa ini, dua pemain saja yang mengalami kecederaan. Tapi itu pun sudah dalam proses pemulihan. Lain-lain pemain pula bebas daripada sebarang kecederaan,” katanya.

Sabtu minggu lalu, Skuad Hoben Jang Hoben menceriakan kira-kira 16,000 penyokong di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, apabila menundukkan Pulau Pinang menerusi jaringan hatrik Andrew Tuck dan satu jaringan Marko Simic untuk mara ke suku akhir.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.