JOSE Mourinho mengingatkan Romelu Lukaku supaya melupakan sebarang pujian berikutan permulaan cemerlangnya di Manchester United apabila dua gol penyerang Belgium itu membantu kemenangan 4-1 ke atas CSKA Moscow dalam aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.

Dalam perlawanan di VEB Arena itu, Lukaku meledak dua gol untuk mengumpul 10 gol daripada sembilan perlawanan bersama The Red Devils.

Martial membantu Lukaku meledak dua jaringan selain berjaya menyempurnakan sepakan penalti sebelum Henrikh Mkhitaryan melengkapkan kemenangan bergaya United dalam perlawanan itu.

"Saya harap dia akan terus merendah diri dan sentiasa mahu meningkat sepanjang masa.

"Apa pun, saya yakin dia tidak teruja dengan perkataan hebat anda kerana dia tahu apabila keputusan tidak menyebelahinya, anda akan mengkritiknya dengan hebat," kata pengendali United itu.

Mengulas mengenai kemenangan itu, Mourinho gembira dengan prestasi keseluruhan pasukannya.

“Kami beraksi dengan baik dan berjaya mengejutkan mereka," ujarnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :