SKUAD Rusa tewas dengan jaringan 2-3 kepada Sang Kancil dalam perlawanan yang cukup mendebarkan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, malam tadi.

Walaupun sekadar pemanas badan sebelum pusingan kedua Liga Perdana dan Liga Super 2017 bersambung semula selepas cuti Aidilfitri, pertemuan itu nyata mempunyai tarikan tersendiri.

Fokus penyokong kedua-dua pasukan tampaknya tertumpu pada pertembungan melibatkan bekas penyerang Skuad Hoben Jang Hoben, Marko Simic dan penggantinya, Jonathan Behe.

Dalam persaingan untuk membuktikan keupayaan masing-masing selaku penggempur berbisa, Jonathan Behe terlebih dahulu memecah kebuntuan untuk Negeri Sembilan pada minit ke-44.

Pemain kelahiran Marseille, Perancis berusia 28 tahun itu dengan mudah menguis masuk bola ke dalam gawang, yang berpunca daripada situasi sepakan sudut.

Berselang tiga minit kemudian, Skuad Jang melebarkan jurang kedudukan menerusi Bruno Suzuki yang membuat larian pantas ke dalam kotak penalti untuk menyudahkan hantaran lintang Mohammad Faizal Abu Bakar dari sebelah kanan.

Namun, penguasaan tuan rumah tidak bertahan lama apabila gawang mereka pula dibocori oleh Melaka United pada minit ke-49.

Sepakan deras Felipe de Souza hanya mampu diperhatikan penjaga gol, Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman yang sudah terpaku di posisinya.

Memasuki minit ke-71, R Surendran berjaya menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat menerusi rembatan leret ke far post sebelah kiri, sekali gus menggugah moral Skuad Hoben Jang Hoben.

Kealpaan benteng pertahanan tatkala masa perlawanan berbaki lebih kurang empat minit untuk ditamatkan telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Jasmir Mehat untuk meledakkan gol kemenangan bagi Melaka United.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JURULATIH Melaka United, Eduardo Almeida meminta pemainnya melupakan kekecewaan di pentas Piala Malaysia dengan memberi fokus kepada misi hidup mati kekal di saingan Liga Super musim depan.
  • SELANGOR kemungkinan akan melakukan beberapa pertukaran pemain dalam kesebelasan utama The Red Giants bagi pertemuan menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam ini, lapor MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY.
  • PENGENDALI Melaka United, Eduardo Almeida gembira apabila pasukannya mencatatkan kemenangan berharga 3-2 ke atas Kelantan pada saingan Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Kota Bharu, malam kelmarin.
  • PELUANG Kelantan untuk melayakkan diri ke suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini hampir tertutup setelah tunduk 2-3 kepada Melaka United, pada aksi Kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.
  • THE Red Warrior gagal meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia selepas kecundang 0-3 kepada juara Liga Perdana musim lalu, Melaka United, di Stadium Hang Jebat malam tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.