SKUAD Jang mara ke separuh akhir Piala FA 2017 selepas melakar keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Gol tunggal diperoleh di tempat lawan pada suku akhir pertama hasil jaringan Marko Simic, 1 April lalu menjadi faktor yang melayakkan mereka ke pusingan seterusnya.

Melalui kemenangan itu, Skuad Hoben Jang Hoben bakal bertemu sama ada Pahang atau Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan bersaing pada Ahad ini.

Walaupun beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, aksi Negeri Sembilan tampak tenggelam dan seolah-olah tidak bermaya sepanjang babak pertama.

Sebaliknya, pasukan pelawat yang lebih menguasai perlawanan sehingga memaksa Mohd Asri Ninggal mengeluarkan Mohamad Izzudin Zainudin untuk digantikan dengan Muhammad Izuan Mohd Salahuddin pada minit ke-32 bagi memantapkan serangan.

Ketiadaan Andrew Tuck yang mendapat jolokan dalam kalangan penyokong sebagai pemain mempunyai tiga paru-paru, jelas sekali telah memberi kesan agak besar terhadap rentak permainan Skuad Hoben Jang Hoben.

Sesekali sahaja mereka mengancam kubu Sang Badak, namun cubaan dilancarkan sama ada tersasar atau tepat ke dakapan  Rozaimie Rohim yang mengawal pintu gawang.

Bagaimanapun, situasi mula berubah selepas perlawanan memasuki separuh masa kedua apabila gerakan demi gerakan direncanakan Skuad Rusa dilihat lebih teratur.

Namun, tiang dan palang gol menjadi penghalang kepada hasrat pasukan tuan rumah untuk mencipta jaringan yang amat diperlukan bagi meletakkan mereka dalam kedudukan lebih selesa.

Rembatan kencang Marko Simic dari luar kotak penalti pada minit ke-56 sudah pun menewaskan penjaga gawang, namun bola terkena tiang sebelah kanan.

Selang tiga minit kemudian, Khairul Anwar Shahrudin pula mengalami nasib seperti Marko Simic apabila bola sepakannya dari near post sebelah kiri terkena tiang.

Memasuki minit ke-73, pemain muda ini sekali lagi berputih mata berikutan sepakan percuma dilepaskan dari jarak kira-kira 26 meter sekadar menggegar palang.

Untuk rekod, kali terakhir Negeri Sembilan menjejaki peringkat suku akhir Piala FA adalah pada 2013 yang menyaksikan mereka tunduk kepada Terengganu dengan agregat 1-6.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.