PENGENDALI Felda United, B Sathianathan lega dengan tindakan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) yang masih mahu meneliti dokumen dari pelbagai aspek sebelum menentukan status sebenar skuad The Fighters itu.

Menurut Sathianathan, budi bicara FMLLP itu seolah-olah memberi 'talian hayat' kepada Felda untuk kekal beraksi dalam kancah Liga Super, musim depan.

“Terima kasih kepada FMLLP atas pertimbangan yang diberikan untuk pihak kami.

"Jika diikutkan memang Felda akan tersingkir ke Liga Perdana kerana kami gagal mendapat lesen kelab daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tapi FMLLP tetap ada budi bicaranya dalam membantu kami dalam situasi ini.

"Keputusan itu melegakan kami dan saya yakin FMLPP akan buat keputusan betul," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kelmarin, status penyertaan Felda dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan masih jadi tanda tanya.

Ia berikutan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam memerlukan dua hari lagi untuk menimbang pelbagai perkara kerana sebarang keputusan bakal menghadirkan impak besar.

Mengulas persiapan skuadnya kini, Sathianathan berkata, semuanya berjalan lancar.

“Setakat ini kami ada beberapa pemain baharu, dua dari Pahang (Syamin Yahya, Christie Jayaseelan) dan dua dari PKNS (Khairul Azrin Khazali, Azreen Zulkifli).

“Kami juga ada pemain import Thiagho Junior (Perak). Kini masih mencari dua orang lagi pemain,” ujarnya.