KANGAR - Jabatan dan agensi kerajaan di Perlis digalak mewujudkan budaya bersukan di kalangan petugasnya sebagai terapi minda dan membina kesihatan badan, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Beliau berkata jabatan dan agensi boleh memilih sukan yang bersesuaian  untuk dilaksanakan setiap minggu serta menganjurkan perlawanan sukan persahabatan sesama mereka setiap bulan.

"Saya yakin ia tidak akan menjejas waktu bekerja kerana ia boleh diadakan pada sebelah petang iaitu setelah selesai tugas harian di pejabat," katanya berucap merasmikan Karnival Sukan Kakitangan Awam Perlis 2012 di Stadium Utama di sini hari ini.

Beliau berkata penjawat awam yang mengamalkan aktiviti kecergasan akan sentiasa sihat dan cergas manakala wajah mereka juga lebih ceria dan boleh melaksanakan tugas dengan lebih sempurna.

Sebanyak 2,000 penjawat awam terlibat dalam karnival sukan selama dua hari itu yang membabitkan enam acara utama iaitu badminton, tarik tali, bola jaring, futsal, dart dan sukan tradisional.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid berkata karnival sukan itu diharap dapat membentuk jati diri penjawat awam. - Bernama


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.