PENCEGAHAN awal yang dilakukan oleh tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma) Perak ke-19 dengan menjalankan saringan ujian air kencing menyelamatkan maruah kontinjen Perak apabila seorang atletnya didapati positif doping.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Perak, Howard Lee Chuan How mengesahkan perkara itu berkata, ujian dilakukan secara random melibatkan 100 atlet bagi memastikan kontinjen Perak bebas daripada pengambilan bahan terlarang bersempena Sukma kali ini.

Berikutan itu atlet berkenaan yang berada dalam senarai pendek digugurkan serta merta daripada menyertai Sukma kali ini namun Howard enggan mendedahkan secara terperinci mengenai kes itu.

“Kami telah mengenal pasti ada seorang atlet digugurkan akibat positif ujian doping itu yang dilakukan ketika pra Sukma pada tiga minggu lepas. Ini adalah inisiatif yang diambil oleh kontinjen tuan rumah. Perkara ini telah kami sarankan kepada negeri lain.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sukma: Seorang atlet angkat berat gagal ujian doping]

“Saringan itu dilakukan untuk mengetahui sama ada atlet kita terlibat doping atau tidak. kes ini tidak sama seperti sukan angkat berat kerana atlet itu tidak tersenarai dalam kontinjen, beliau dalam senarai pendek sahaja. saya hanya tekankan mekanisme yang diambil oleh kontinjen Perak dalam memastikan kontinjen kami bebas doping,” katanya ketika ditemui di pusat media di Kompleks Pusat Belia dan Sukan Negeri Perak, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat semalam seorang atlet angkat berat didapati positif menggunakan bahan terlarang dalam saringan ujian anti doping bersempena Sukma kali ini.

Tanpa mendedahkan nama atlet dan negeri yang diwakili, atlet terbabit didapati gagal dalam ujian yang dijalankan dengan kerjasama PABM, Agensi Anti Doping Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan  serta Majlis Sukan Negara.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail memuji tindakan proaktif PABM itu dalam memastikan sukan itu bebas daripada doping pada temasya Sukma kali ini.

“Isu doping sentiasa menghantui sukan angkat berat khususnya di peringkat Sukma sendiri, antara  sebab utama angkat berat digugurkan dalam sukan teras adalah masalah doping dalam kalangan atlet mereka.

“Kita berharap Sukma kali ini tidak lagi timbul isu doping, langkah yang diambil oleh PABM selepas sukan diberi peluang untuk dipertandingkan semula di Sukma. Jadi menjadi tanggungjawab mereka memastikan tiada seorang atlet tersangkut doping,” katanya.

Ahmad Shapawi menegaskan sekiranya kes doping itu masih berlaku dalam sukan angkat berat ia akan menyukarkan Jawatankuasa Tertinggi dan Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara untuk pertimbangkan bagi menyenaraikan semula dalam sukan teras. - Bernam