Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
$entry.content.caption.value

JAWATANKUASA Siasatan Anti-Doping Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) diminta mempercepatkan siasatan isu doping yang membabitkan atlet 400 meter negara Mohd Yunus Lasaleh dan Timbalan Presiden kesatuan itu, Datuk Karim Ibrahim.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, tindakan tegas dan sewajarnya perlu diambil terhadap mereka yang didapati bersalah bagi membuktikan bahawa Malaysia serius dalam perkara seumpama itu.

Beliau berkata, tindakan dan hukuman yang dikenakan juga perlu mencerminkan ketelusan Malaysia yang sentiasa bertindak tegas terhadap penggunan bahan-bahan larangan dalam kalangan atlet negara ini.

"Saya berharap KOM tidak menganggap ia perkara kecil kerana dunia akan melihat Malaysia sebagai negara yang tidak telus dan tidak bertindak tegas kepada soal membasmi penggunaan bahan-bahan yang terlarang dalam kalangan atlet kita," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Mesra Belia 1Felda 1Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Shabery berkata, kegagalan KOM menangani isu itu secara baik boleh meletakkan Malaysia sebagai negara "terhina" dalam dunia sukan.

Menurutnya, beliau sendiri telah menulis beberapa surat, namun belum ada sebarang jawapan daripada KOM berhubung isu itu.

"Saya berharap jawatankuasa itu akan dapat memberi kepastian apakah punca sebenar, dan sekiranya melibatkan kesalahan atlet, KOM hendaklah bertindak terhadap atlet tetapi sekiranya ia adalah  kesalahan persatuan, mungkin Pesuruhjaya Sukan akan mengambil tindakan terhadap persatuan yang berkenaan," katanya. - Bernama


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.