PERSEKUTUAN Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) memutuskan untuk menarik balik dakwaan pelanggaran disiplin terhadap tiga pemain negara ketika Kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok, Oktober tahun lepas.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, yang juga merupakan pengerusi panel disiplin persekutuan itu selepas mesyuarat hari ini.

"Dakwaan terhadap tiga pemain simpanan di bawah Peraturan 15.3 Undang-Undang Sepak Takraw ISTAF 2013 telah ditarik balik," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau, bagaimanapun tidak mendedahkan sebab-sebab di sebalik penarikan dakwaan terhadap pemain-pemain negara itu.

Ketiga-tiga pemain simpanan negara yang terlepas daripada dakwaan ISTAF itu adalah Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi, Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Aidil Aiman Azwawi.

Ketiga-tiga mereka berhadapan dengan tindakan disiplin di bawah Peraturan 15.3 itu atas dakwaan tidak tampil pada perlawanan regu kedua dalam perlawanan akhir menentang Thailand serta meninggalkan kejohanan itu.

Tindakan mereka itu telah menyebabkan satu laporan dikemukakan kepada ISTAF oleh Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Thailand, Tanawat Prasongcharoen.

Mesyuarat disiplin ISTAF hari ini diadakan di bangunan Majlis Olimpik Thailand yang turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) termasuk presidennya Datuk Ahmad Ismail.

Walaupun ketiga-tiga pemain berkenaan terlepas daripada dakwaan terbabit tetapi nasib enam pemain negara lain dan tiga pegawai yang berhadapan dengan dakwaan yang sama masih belum terjamin.

Enam pemain negara itu adalah Izurin Refin, Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Safaruddin Abu Bakar, Sahidan Md Ali, Muhammad Ridauddin Abd Ghani dan Muhammad Azwan Muhrim.

Tiga pegawai pasukan yang turut berhadapan dengan dakwaan pelanggaran disiplin di bawah Peraturan 15.3 Undang-Undang Sepak Takraw ISTAF itu adalah pengurus pasukan, Mohd Zambri Abdul Rahman, jurulatih, Abdul Talib Ahmad dan Mohd Rashidi Nordin berhadapan dakwaan lain.

Menurut Abdul Halim, keputusan panel disiplin ISTAF berkenaan dakwaan pelanggaran disiplin terhadap enam pemain dan tiga pegawai pengurusan negara akan diputuskan esok. - Bernama

  

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KERAJAAN negeri Perak meminta Majlis Sukan Negara (MSN) supaya tidak menggugurkan acara sepak takraw daripada dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di negeri itu dari 12 hingga 22 September ini.
  • TINDAKAN menggugurkan sepak takraw sebagai sukan teras negara serta tidak dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 diibaratkan sebagai membunuh warisan sepak takraw yang dicipta oleh anak Melayu, kata Pengasas Permainan Sepak Raga Jaring/Sepak Takraw, Tan Sri Mohd Yusoff Latif.
  • ALASAN pengguguran sukan angkat berat selain taekwondo dan sepak takraw pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak kini terus menjadi persoalan.
  • MAJLIS Sukan Negara (MSN) mengambil pendekatan mendiamkan diri apabila diminta mengulas kenyataan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail yang menyifatkan badan induk itu tidak profesional dan `bermain politik’ apabila menggugurkan sepak takraw daripada program sukan teras.
  • BEKAS pemain takraw negara, Rommi Suhendra Norsal meminta Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berhenti menyalahkan Majlis Sukan Negara (MSN) susulan pengguguran sepak takraw daripada program sukan teras.