IRONMAN Langkawi 2018 yang berakhir kelmarin bukan sekadar hanya acara sukan lasak tetapi juga platform untuk penganjurnya menyemai amalan kitar semula dan penjagaan alam sekitar.

Menurut Pengarah Acara Ironman Malaysia,  C G Lim, inisiatif itu dijalankan sepanjang empat hari  kejohanan itu berlangsung dalam usaha mengekalkan kebersihan dan keindahan pulau peranginan berkenaan.

Selain menyediakan tong khas kitar semula di tiga lokasi utama penganjuran Ironman Langkawi katanya, sukarelawan yang bertugas di lapan stesen minuman untuk peserta juga mengumpulkan bahan-bahan buangan plastik sebelum kesemua sampah dibawa ke tanah besar oleh syarikat pelupusan sisa pepejal E-Idaman Sdn Bhd, katanya di sini.

"Saya berharap inisiatif Ironman Langkawi itu akan menjadi penanda aras kepada program sukan lain.

"Kalau semua tidak ambil kisah, susah kita mahu kekalkan keindahan pulau ini. Jadi apa kata sambil bersukan, kita jalankan tanggungjawab dengan mengitar semula sampah yang dijana semasa program yang dijalankan," katanya. - Bernama