PEMEGANG tiga pingat emas Sukan Sea Manila 1981, juga ratu olahraga negara, Zaiton Othman menerima Anugerah Wanita dan Sukan Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) peringkat Asia, pada Persidangan Dunia Sukan dan Wanita di Los Angeles, California, semalam.

Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Low Beng Choo berkata, penganugerahan itu sebagai tanda penghormatan tambahan yang diadakan serentak pada persidangan yang berlangsung empat tahun sekali itu.

“Penganugerahan ini merupakan landasan terbaik, terutama dalam usaha membangun dan menggalakkan penyertaan terutama dalam kala­ngan atlet wanita di semua peringkat dalam bidang sukan termasuk di peringkat kepimpinan,” katanya yang akan membentangkan kertas kerja ‘Setting the Pace for a Sustainable Responsibility: The Regional Agenda’ pada persidangan tersebut.

Sementara itu, Zaiton yang juga Pengarah Pembangunan Organisasi dan Hal Ehwal Atlet, Majlis Sukan Negara berkata, penganugerahan itu sebagai satu pengiktirafan, pada masa sama perlu bekerja lebih keras mengangkat martabat sukan wanita bukan sahaja di Malaysia bahkan Asia.

“Sebagai seorang bekas atlet, saya memberi khidmat bukan untuk menerima anugerah, tetapi rasa tanggungjawab untuk menaikkan mutu sukan wanita,” katanya yang mendapat jolokan Iron Lady.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu turut melibatkan 700 delegasi seluruh dunia dan akan membincangkan mengenai topik hala tuju sukan wanita.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.