INILAH realiti bola sepak,” Itu reaksi ringkas ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengulas kekalahan 1-2 kepada JDT pada aksi Liga Super di Ipoh, semalam.

Durakovic berkata, kekalahan berkenaan perlu diterima semua pihak berdasarkan kepada aksi memberangsangkan dipamerkan kesebelasan The Bos Gaurus sepanjang perlawanan berkenaan.

Menurutnya, semua pemain Bos Gaurus beraksi baik untuk menghasilkan kemenangan.

“Secara keseluruhannya saya ucap tahniah kepada kesebelasan pemain saya. Mereka beraksi cukup baik.

“Namun, ini adalah bola sepak. Tiada apa yang boleh kita lakukan. Perak bermain baik tetapi JDT juga adalah pasukan yang baik.

“Kita sebenarnya ada dua peluang, tetapi dinafikan tiang gol. JDT hanya menyerang sekali sekala tetapi mereka berjaya menjaringkan gol,” katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan.

Kekalahan Perak itu sekali gus mengesahkan JDT sebagai juara Liga Super buat kali kelima berturut-turut.

Bagaimanapun dalam aksi di Stadium Perak itu, tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-72 menerusi Norhakim Hassan.

Bagaimanapun kegembiraan penyokong Perak tidak bertahan lama apabila dua minit berselang, Harimau Selatan kembali kedudukan hasil tandukan Harris Harun pada minit ke-74.

Gol berkenaan dilihat semakin menyemarakkan kesebelasan JDT untuk terus mengasak ke gawang Perak dan hasilnya, Sapawi Rashid  berjaya menanduk masuk gol kedua pada minit ke-83.

Biarpun Perak dilihat cuba bangkit bagi meledak jaringan penyamaan, namun ia sudah terlalu lewat untuk menyekat kejayaan skuad pelawat itu.

Sementara itu, Durakovic berkata, pihaknya akan cuba untuk memenangi baki perlawanan supaya Perak menamatkan saingan musim ini selaku naib juara liga biarpun kekalahan semalam membuka peluang kepada Terengganu dan Pahang.

“Kita akan cuba yang terbaik untuk menang baki perlawanan. Jika kita tewas, kita akan cuba untuk menang perlawanan seterusnya pula,” katanya lagi.