PENYOKONG tegar bola sepak negara, Al Fadli Awaludin menyifatkan jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak seharusnya bersandarkan kepada jawatan atau gelaran semata-mata.

Sebaliknya beliau berpendapat jawatan itu boleh disandang oleh sesiapa sahaja yang mempunyai profesionalisme dan integriti yang tinggi.

Katanya, tidak kiralah sama ada dari golongan kerabat, ahli politik atau orang biasa sekali pun, dua kriteria ini haruslah dipenuhi jika mahu melihat perubahan dalam landskap bola sepak negara.

"Sebenarnya kalau kita sebut orang profesional dan integriti, dia tidak tertakluk kepada jawatan, pangkat atau gelaran. Ia lebih kepada cara kerja, etika dan mentaliti mereka.

"Ramai penyokong mahukan FAM dipimpin oleh mereka yang mempunyai dua asas ini, tak kisahlah walau siapa pun yang memimpin.

"Saya faham kenapa sekarang ramai orang mempersoalkan jawatan ini hanya untuk kerabat atau ahli politik sahaja. Ini disebabkan bola sepak kita selama ini ditadbir oleh individu tanpa profesionalisme dan integriti yang tinggi.

"Sebab itulah orang beranggapan jawatan atau gelaran itu boleh menjatuhkan bola sepak negara walaupun sebenarnya bukan itu yang menjadi permasalahan utama," jelasnya.

Menurutnya, untuk pemilihan kali ini, beliau mengharapkan setiap calon bertanding mengemukakan perancangan dan manifesto tentang hala tuju bola sepak yang ingin dibawa mereka.

Katanya, dengan perancangan dan manifesto ini barulah penyokong dapat melihat apa hala tuju yang ingin dibawa oleh mereka untuk memajukan bola sepak.

"Bila ada manifesto dan perancangan, baru kita tahu indeks petunjuk prestasi (KPI) mereka. Kalau ikut pencapaian dibawa pemimpin sebelum ini, pada saya ia  tak memadai.

"Jadi, calon-calon yang ada ini perlu capai lebih daripada itu dan memberikan masa dan fokus utama hanya untuk bola sepak. Bukan untuk jawatan presiden sahaja, jawatan-jawatan lain yang di bawah pun perlu sama," ujarnya.

Katanya, walaupun penyokong tiada hak untuk mengundi, tetapi penyokong juga perlu terlibat dan tahu apa hala tuju yang ingin dibawa kerana mereka ini sudah lama menanti perubahan untuk melihat kemajuan bola sepak negara ini.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.