SELAIN perancangan yang dilakukan selama enam bulan, faktor turun dengan mentaliti untuk menang turut menjadi rahsia kejayaan Mexico yang berjaya menumbangkan juara bertahan, Jerman 1-0 dalam aksi sulung Kumpulan F kempen Piala Dunia, malam tadi.

Pengendalinya, Juan Carlos Osorio berkata, sebelum perlawanan dia ada memberitahu pemain agar jangan berasa terlalu takut atau merendah diri sebaliknya membuktikan pasukan kerdil seperti mereka mampu mempamerkan aksi luar biasa.

"Kata-kata semangat yang digunakan adalah bermain untuk menang dan tidak takut untuk kalah.

"Saya juga cuba untuk meletakkan semua tekanan di atas bahu saya bagi membolehkan pemain benar-benar fokus terhadap perlawanan.

"Jika kami menang, kredit perlu diberikan kepada pemain dan jika kalah saya bertanggungjawab sepenuhnya...itulah dunia bola sepak. Nampaknya mereka bersaing dengan baik dan bertahan seperti menyelematkan hidup mereka.  katanya.

Pemain sayap PSV Eindhoven, Hirving Lozano muncul wira Mexico apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-35 sekali gus mengejutkan Jerman yang dalam misi untuk menjadi pasukan pertama selepas Brazil pada 1962 yang berjaya mempertahankan gelaran juara Piala Dunia.

Pengendali dari Colombia itu memuji kesungguhan yang ditunjukkan pemainnya serta meluahkan rasa gembira apabila segala hasil kerja keras dilakukan sebelum ini berhasil.

“Kami mula membuat perancangan sejak enam bulan lalu, kami dapat menukar beberapa bahagian disebabkan kecederaan tetapi secara asasnya adalah kami menggunakan pemain yang pantas di bahagian sayap.

“Kami memutuskan untuk memberi kepercayaan itu kepada Lozano kerana dia adalah pemain yang pantas.

"Kami tampil dengan corak serangan pantas dan mempunyai beberapa peluang bagi membuka tirai jaringan lebih awal sebenarnya,” tambahnya.