CAPO Ultras Taming Sari, Lekir Ahmad  menyifatkan Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) akan berasa gegaran sekiranya presiden persatuan itu Datuk Seri Idris Haron meletakan jawatan.

Menurutnya, kesungguhan serta komitmen Idris selaku presiden sebelum ini memastikan skuad Hang Tuah itu berjaya layak ke Liga Super musim ini selepas sekian lama kehilangan taring di persada bola sepak negara.

Katanya, keupayaan Idris memang tidak perlu dinafikan dan sekiranya beliau kekal memimpin adalah lebih baik dalam mencipta kejayaan lebih besar.

“Tapi kami tidak menolak peletakan jawatan beliau jika itu adalah kehendak beliau, kerana dalam konteks penswastaan tak semestinya ketua menteri atau orang politik memegang jawatan presiden.

“Apa yang penting penggantinya perlulah yang boleh buat kerja,” katanya.

Lekir berkata demikian bagi mengulas laporan media semalam bahawa Idris  membayangkan akan meletak jawatan berikutan prestasi Melaka United tidak begitu baik di saingan liga.

Mengulas lanjut, kata Lekir, pengganti Idris haruslah sama hebat dan mampu memacu Melaka United dalam saingan liga jika benar orang nombor satu Musa itu mahu berundur.

“Jika perkara ini (Idris meletak jawatan) benar, carilah pengganti yang betul komited dan meletakkan jiwa raga dalam membangunkan bola Melaka. Jangan sekadar jawatan.

“Beliau (presiden baharu) juga perlu selalu turun ke stadium bagi membangkitkan motivasi serta menyatukan pemain,” katanya.

Sementara itu, Lekir menyifatkan kemerosotan Melaka United di saingan Liga Malaysia musim ini kerana tiada keharmonian dalam pasukan apabila wujudnya kumpulan kecil antara pemain.

“Mungkin berbeza darjat. Darjat mereka yang asalnya Liga Super, darjat import, darjat yang datang dari Liga FAM dan Liga Perdana.

“Ini ditambah kesilapan awal pengurusan memilih pemain tanpa kehadiran jurulatih. Eric Williams hadir selepas pemain dipilih.

“Sebagai contoh tukang masak, Williams terpaksa menggunakan ramuan tradisional Melayu yang disediakan, walaupun kepakaran beliau adalah western food.

“Jadi untuk pusingan kedua liga, Musa perlu memberikan Williams ruang melakukan rombakan pemain tempatan serta import. Jika tidak, pintu ke Liga Perdana semula terbuka luas,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENGENDALI Melaka United, Eduardo Almeida gembira apabila pasukannya mencatatkan kemenangan berharga 3-2 ke atas Kelantan pada saingan Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Kota Bharu, malam kelmarin.
  • PELUANG Kelantan untuk melayakkan diri ke suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini hampir tertutup setelah tunduk 2-3 kepada Melaka United, pada aksi Kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.
  • THE Red Warrior gagal meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia selepas kecundang 0-3 kepada juara Liga Perdana musim lalu, Melaka United, di Stadium Hang Jebat malam tadi.
  • KETUA jurulatih pasukan bola sepak di negara ini diingatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan negatif terutamanya berbaur hasutan sekiranya tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.
  • SKUAD Rusa tewas dengan jaringan 2-3 kepada Sang Kancil dalam perlawanan yang cukup mendebarkan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, malam tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.