PENYERANG skuad B-19 negara Hadi Fayyadh Abdul Razak antara 23 pemain yang disenaraikan Bojan Hodak membarisi skuad Malaysia pada kejuaraan B-19 AFC 2018 di Indonesia dari 18 Oktober hingga 4 November depan.

Menurut kenyataan Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM), Hadi Fayyadh yang menimba ilmu bersama sebuah kelab divisyen 2 Liga Jepun, Roasso Kumamoto adalah antara yang dipanggil pengendali skuad Bawah 19 Tahun itu  bagi  memantapkan bahagian serangan negara.

“Skuad B-19 kebangsaan yang diundi dalam Kumpulan D akan memulakan kempen berdepan Arab Saudi pada 20 Oktobercpada 4 petang waktu Malaysia diikuti aksi menentang Tajikistan pada 23 Oktober pada jam 7 malam.

“Kedua–dua aksi tersebut akan berlangsung di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi. Perlawanan penutup tirai Kumpulan D yang akan diadakan di Stadium Pakansari, Bogor bakal menemukan skuad negara menentang China pada Jumaat, 26 Oktober pada 7 malam waktu Malaysia,” kata kenyataan itu.

Jika menduduki dua tempat teratas Kumpulan D, Malaysia akan bertemu juara atau naib juara Kumpulan C (Australia, Korea Selatan, Vietnam dan Jordan) pada aksi suku akhir, 29 Oktober di Stadium Patriot Chandrabhaga.

Seterusnya, kedua-dua perlawanan separuh akhir bakal berlangsung pada 1 November manakala perlawanan akhir bakal dilangsungkan pada 4 November.

Kesemua perlawanan separuh akhir dan akhir bakal dilangsungkan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

SENARAI SKUAD B19 BOJAN HODAK