TIADA istilah mudah dalam saingan seperti Piala FA 2017 kerana ia melibatkan perlawanan kalah mati dan aksi timbal balik selepas memasuki peringkat suku akhir.

Pertahanan kental Hijau Kuning, Zachary Anderson berkata, Kedah perlu terus bekerja keras jika mahu memburu kejayaan pada Piala FA 2017 kerana setiap perlawanan yang dihadapi penuh kejutan dan kepahitan perlu ditelan sekiranya tidak bersedia lebih awal.

Berjaya mencatatkan namanya selaku penjaring gol semasa membantu Kedah menewaskan Perak 2-0 di Ipoh pada pusingan ketiga Piala FA kelmarin, menurutnya, semua pemain tidak boleh selesa dengan kedudukan sekarang.

"Menghadapi perlawanan pada peringkat saingan kalah mati adalah sukar kerana setiap pasukan lawan bersemangat tinggi, fokus pasukan perlu sentiasa diberikan di dalam padang dari semasa ke semasa.

"Sebelum perlawanan menghadapi Perak, kami sudah dimaklumkan oleh barisan jurulatih akan kekuatan semasa lawan dan ternyata mereka adalah sebuah pasukan yang berpengalaman dan agak sukar untuk diatasi," katanya.

Jelas bek import dari Australia itu, Kedah perlu bekerja keras termasuk disiplin semasa menjalani rutin latihan sebaik pulang ke Alor Setar.

"Selepas mengharungi beberapa perlawanan, persefahaman di kalangan pemain semakin baik dan saya boleh katakan kami mempunyai satu pasukan yang bagus dan tumpuan kini adalah untuk menghadapi perlawanan seterusnya," katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.