KEDAH mara ke suku akhir Piala FA 2017 selepas berjaya mengenepikan cabaran Perak 2-0 pada aksi Northern Derby di Stadium Perak pada pusingan ketiga dalam satu pertembungan aksi bertempo tinggi malam ini.

Turun dengan jersi ala Portugal warna merah dan hijau buat pertama kali musim ini, pendahulu Liga Super 2017 nyata bergerak sebagai satu pasukan walaupun menerima tekanan dari dalam dan luar padang sepanjang perlawanan berlangsung.

Pada awal permainan, penyerang Perak Zaquan Adha mendakwa dirinya dijatuhkan di dalam kotak penalti Kedah akibat asakan pemain lawan, Fitri Omar namun tidak diendahkan oleh pengadil perlawanan, Mohd Nazmi Nasarudin.

Penjaga gol Perak, Mohd Hafizul Hakim diuji oleh Sandro Da Silva dari luar kotak penalti menerusi sepakan percuma pada minit ke-15 namun sempat ditepis keluar oleh pemain tersebut.

Kedah berjaya menguasai perlawanan namun disiplin tinggi lawan menyaksikan mereka berjaya mematahkan serangan demi serangan yang cuba dilakukan pelawat.

Hijau Kuning kehilangan khidmat Amirul Hisham Awang Kechik pada minit ke-26 kerana alami kecederaan dan digantikan dengan Akram Mahinan langsung tidak mengubah rentak konsisten pasukan tersebut.

Bek tengah Kedah, Zachary Anderson akhirnya menggegarkan gawang The Bos Gaurus selang dua minit kemudian menerusi tandukannya setelah melepasi kawalan Thiago Junio untuk mengelirukan lima pertahanan tuan rumah lain hasil hantaran sepakan percuma Sandro.

Pemain gantian, Akram pula hampir menambah gol kedua Kedah menerusi sepakan kencangnya namun mujur dihalang oleh pertahanan kental Perak, Thiago Junio pada minit ke-26.

Bagaimanapun, Perak menerusi penyerang importnya, Vladislav Mitkov Mirchev berjaya mengelirukan Zachary dan melakukan sepakan tepat ke pintu gol Kedah namun Ifwat Akmal sudah bersedia untuk menepis percubaan deras penyerang tersebut.

Hijau Kuning terus membuktikan ketajaman mereka di posisi serangannya menerusi Ken Ilso Larsen untuk melebarkan jurang kepada 2-0 pada minit ke-42 hasil hantaran lencong Halim Shaari dari sebelah kanan.

Sokongan hampir 10,000 penyokong Hijau Kuning terus menyemarakkan semangat pasukan pelawat di Ipoh pada separuh masa kedua dan penjaga gol mereka, Ifwat diuji buat kali kedua oleh Michev pada minit ke-46 namun kemas ditangkap penjaga gol muda itu.

Kebangkitan yang sedang diusahakan oleh The Bos Gaurus terus menyusul menerusi rembatan pemain gantian, Nasir Basharudin pada minit ke-70 namun Ifwat terus cemerlang menafikan percubaan tersebut.

Akasi konsisten yang ditunjukkan oleh skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu berjaya menafikan asakan tuan rumah dan keputusan 2-0 kekal sehingga ke wisel penamat.
 

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEHADIRAN semula lima pemain muda Kedah dari skuad Malaysia Bawah 22 Tahun berjaya memberi banyak pilihan kepada pasukan tersebut untuk mengilirkan pemain dan hasilnya mereka gah membenam Kelantan 5-0 pada perlawanan ke-18 Liga Super di Stadium Darul Aman, kelmarin.
  • PENYERANG Kedah, Ken Ilso Larsen menyifatkan persefahaman di kalangan semua semakin baik berbanding kehadiran awalnya bersama pasukan tersebut musim ini.
  • PENYERANG Malaysia Bawah 22 Tahun (B22), Syafiq Ahmad mahu memberi tumpuan sepenuhnya untuk membantu Kedah selepas berjaya membawa pasukan kebangsaan mara ke pusingan akhir Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 2018 di China, Januari depan.
  • BARISAN jurulatih Hijau Kuning berharap kelab-kelab penyokong akan terus berada di belakang pasukan untuk terus memburu kejayaan musim 2017 terutama di dalam menghadapi dua lagi perebutan kejuaraan iaitu Liga Super dan juga Piala Malaysia.
  • PELARI solo dari Kedah, Nasir Abas, 62, memasang impian untuk membuat larian keempat untuk Hijau Kuning sekiranya pasukan bolasepak negerinya itu muncul Juara Piala FA 2017 pada Sabtu ini di Shah Alam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.