[DIKEMASKINI] PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang mengeluarkan kenyataan tidak akan berganjak dengan desakan penyokong The Bos Gaurus Ahad lalu, akhirnya mengalah dan mengumumkan peletakan jawatannya itu, hari ini.

Hasnul Zulkarnain yang juga Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi berkata, keputusan itu dibuat kerana mahu memberi fokus lebih besar dalam tugas hakiki selaku anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ahli politik.

“Dalam tempoh seminggu dua ini, kehidupan dan tumpuan kerja saya sedikit terganggu, tapi masih mampu memberi fokus terhadap tugas-tugas dalam Pafa.

“Sehinggalah lewat sehari dua ini saya rasakan perlu lakukan sesuatu supaya sukan ini dapat diteruskan dalam suasana lebih sihat tanpa ada unsur cuba menyakiti pihak lain,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco Eksekutif Pafa, hari ini.

Hasnul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Pafa pada sidang Media, selepas mesyuarat Exco Eksekutif Pafa, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hasnul enggan mengalah desakan letak jawatan]

Menurutnya, keputusan peletakan jawatan itu tidak dipengaruhi mana-mana pihak, namun mengakui sedikit terguris dengan kontroversi yang berlaku membabitkan dirinya.

“Walaupun sudah memohon maaf, saya tetap didesak meletak jawatan sedangkan kesalahan dilakukan bukanlah pecah amanah atau membawa keluar duit Pafa sewenangnya.

“Keadaan sekarang boleh dikatakan begitu (mangsa buli siber). Semua orang akan melaluinya, kekecewaan itu ada, tetapi kehidupan perlu diteruskan,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Gambar kontroversi: Presiden Pafa mohon maaf]

Hasnul Zulkarnain berkata, surat rasmi akan diserahkan kepada Pafa dalam masa terdekat dan tetap meletak jawatan walau apa pun keputusan barisan Exco Pafa.

“Sidang media pertama sebaik saya dilantik presiden dulu, saya berhasrat bawa pasukan Perak ke perlawanan akhir Piala Malaysia, saya kira saya dah laksanakannya, siapa sangka Perak juara setelah 18 tahun kita menagih kemenangan itu.

“Lima bulan mengendalikan Pafa adalah tempoh paling mencabar selaku presiden dalam usia yang masih muda,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Perak juara Piala Malaysia]

Julai lalu, Adun Titi Serong itu menang tanpa bertanding pada Kongres Pafa ke 60 bagi jawatan presiden sesi 2018-2021 menggantikan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Kontroversi melibatkan dirinya tercetus sebaik Perak menang Piala Malaysia 2018 apabila beliau bergambar dengan trofi terbabit sebagaimana tular di media sosial.

Antara tindakan beliau yang tidak disenangi termasuklah membawa piala tersebut ke mana beliau pergi selain bergambar ketika makan mi segera di dalam bilik hotel dan di tepi kolam renang.

Meskipun telah menyatakan permohonan maaf, peminat dan kelab penyokong tetap mendesak agar beliau melepaskan jawatan.