PARIT BUNTAR - Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim tidak akan berganjak dengan desakan penyokong The Bos Gaurus memintanya meletakkan jawatan di atas keterujaan beliau mengendalikan Piala Malaysia dimenangi sehingga mengundang kontroversi.

Hasnul Zulkarnain berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kecaman berterusan ke atas dirinya barangkali bermotifkan politik kerana 'serangan' dilemparkan sebenarnya bermula sejak beliau mengambil alih jawatan Presiden Pafa pada 45 bulan lalu.

"Saya sekali lagi mohon maaf atas perkara kontroversi berlaku baru-baru ini dan mengakui ia disebabkan kekhilafan diri dan tidak cukup matang untuk mengawal keterujaan diri dalam meraikan kemenangan Piala Malaysia pada 27 Oktober lalu.

"Namun dalam tempoh 45 bulan terakhir saya mengambil alih pengurusan Pafa, saya harap rakyat Perak dapat menghargai usaha kami yang berjaya membawa balik Piala Malaysia dimenangi kali terakhir pada 18 tahun lalu, sungguhpun tidak diberi harapan pada peringkat awal," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian penutup Karnival Sinar Harapan di sini, hari ini.

Menurutnya, serangan bermotifkan politik tidak akan berkesan kepada dirinya malah semakin  yakin mampu membuktikan sesuatu kepada rakyat Perak bagi meneruskan kesinambungan kejayaan bola sepak negeri ini pada masa hadapan.

"Saya sudah memohon maaf atas keterlanjuran saya secara terbuka namun saya tidak akan mengalah kepada sebarang desakan letak jawatan kerana saya sudah mempunyai banyak perancangan untuk meneruskan kesinambungan kejayaan pasukan Perak pada masa hadapan," katanya.

Hasnul Zulkarnain berkata, kedudukannya sebagai Presiden Pafa akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco Eksekutif Pafa pada Khamis ini memandangkan pelantikannya memegang jawatan itu adalah berlandaskan sokongan gabungan persatuan bola sepak daerah di Perak.

Bagaimanapun, beliau menegaskan masih mendapat sokongan penuh daripada majoriti Exco Eksekutif Pafa sendiri untuk meneruskan perkhidmatan sebagai presiden.

"Hanya sekiranya Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sendiri yang mengarahkan saya untuk melepaskan jawatan, barulah saya akan memperhalusi keputusan itu demi kepentingan semua pihak.

"Saya juga berharap rakyat Perak terus memberikan sokongan kepada saya kerana di sebalik kekhilafan dilakukan, saya sudah menyuarakan kemaafan secara terbuka dan berjanji tidak akan mengulanginya pada masa hadapan," katanya.

Ditanya mengenai desakan berterusan sebahagian penyokong setia The Bos Gaurus menggesanya letak jawatan, Hasnul Zulkarnain mendedahkan sudah menghubungi sendiri beberapa kelab penyokong bola sepak Perak baru-baru ini.

"Saya bersyukur mereka masih memberi sokongan penuh kepada saya untuk terus menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Pafa.

"Saya sekali lagi menyeru penyokong Perak cukup-cukuplah melepaskan kemarahan kepada saya, mohon terus berdiri teguh di belakang Pafa kerana kalau mereka terus bergerak dengan suasana negatif, aura negatif itu akan menjejaskan pula keseluruhan pasukan bola sepak Perak," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Gambar kontroversi: Presiden Pafa mohon maaf]

Sebelum ini, Hasnul Zulkarnain meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia di atas keterujaannya meraikan kejayaan Perak memenangi Piala Malaysia, 27 Oktober lalu sehingga mencetuskan kontroversi.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak berkata, beliau mengakui kekhilafan dirinya sewaktu bergambar dengan trofi Piala Malaysia ketika makan mi segera di dalam bilik hotel dan di tepi kolam renang sebagaimana tular dalam laman sosial.

[ARTIKEL BERKAITAN: Perak juara Piala Malaysia]