BEKAS pemain Kelantan, Mohd Hashim Mustapha berharap masih ada sinar buat The Red Warriors (TRW) untuk kekal dalam Liga Super ketika saingan liga domestik utama itu hanya berbaki tujuh perlawanan lagi.

Bagaimanapun Mohd Hashim berkata, Kelantan tidak boleh meletakkan sasaran tinggi sebaliknya memadai di kedudukan kesembilan atau kesepuluh setelah mengambil kira situasi semasa pasukan yang menghuni tangga tercorot ketika ini.  

“Sebagai bekas pemain dan jurulatih yang pernah berkhidmat bersama pasukan ini, saya harap Kelantan tak jatuh ke Liga Perdana musim depan kerana kita sudah 10 tahun beraksi dalam Liga Super.

“Sayanglah bila dah jatuh, belum tentu kita boleh naik ke atas (kembali ke Liga Super) semula musim berikutnya. Secara peribadi, saya percaya masih ada peluang tapi kena realistik,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Bekas pemain berusia 52 tahun itu mengakui ia satu tamparan hebat dan memalukan sekiranya Kelantan tersingkir ke liga kelas kedua selepas mereka beraksi sekian lama dalam Liga Super, sejak 2009.

Menurutnya, sebarang kegagalan mengekalkan posisi terbaik dalam liga juga boleh menjejaskan peluang skuad pantai timur untuk beraksi dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

“Anda kena ingat, ketika itu Kelantan beruntung kerana PDRM tarik diri sehingga diberi ‘tiket percuma’ oleh FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) selepas meraih tempat ketiga Liga Perdana.

“Walaupun sudah 10 tahun berlalu namun kita masih utuh, tak jatuh berbanding Pulau Pinang, Negeri Sembilan pernah turun naik bahkan Perlis terjerumus dan tak naik-naik, anda lihat di mana mereka sekarang (Piala FAM),” katanya.

Dalam pada itu, bekas penjaring terbanyak Liga Premier musim 1993 dan 1994 itu menyarankan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memberi peluang kepada pemain senior untuk kembali memperkuatkan pasukan mengharungi baki perlawanan.

“Saya fikir kita tak boleh bergantung pada pemain muda sahaja, perlu ada gabungan muda, lama dan import. Kita serahkan kepada Yusri Che Lah (pemangku jurulatih) untuk tentukan tetapi dalam masa sama saya harap penyokong beri masa kepada pemain muda kerana hanya itu aset yang kita ada sekarang.

“Pemain senior seperti Piya (Mohd Badhri Radzi) kena ada dalam pasukan. Namun dia perlu diberikan masa yang cukup kerana sudah terlepas sembilan perlawanan. Dia perlukan masa untuk kembali meningkatkan kecergasan bersaing dengan pemain muda,” katanya.