HARIMAU Malaya gagal meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Piala AFF Suzuki selepas tewas 0-2 kepada Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, sebentar tadi.

Satu gol setiap babak daripada  Nguyen Cong Phuong minit ke -11 dan Nguyen Anh Duc (60') mencetak kekalahan pertama skuad bimbingan Tan Cheng Hoe selepas tiga perlawanan.

Aksi Kumpulan A di Hanoi itu, Cheng Hoe melakukan empat pertukaran pemain yang memperlihatkan rentak agresif sepanjang 10 minit pertama dengan menguasai perlawanan.

Ketika Malaysia ghairah memburu gol awal, Cong Phuong mengamatkan sorakan penyokong tuan rumah apabila memanfaatkan situasi kelam kabut di depan gawang Malaysia untuk merembat deras menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-11.

Mendahului 1-0, Vietnam mula mempamerkan aksi bertahan dengan bola banyak berada di kaki pemain pelawat di kawasan tengah padang.

Menguasai perlawanan namun gagal mencipta gerakan memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Malaysia terus buntu mencipta gerakan walaupun melakukan beberapa pertukaran bagi memberikan tekanan kepada tuan rumah.

Tuan rumah terus menggandakan kelebihan jaringan pada minit ke-60 selepas Anh Duc menewaskan Khairul Fahmi kali kedua.

Walaupun Malaysia cuba bangkit memburu gol, namun kekentalan benteng pertahanan Vietnam menafikan impian Harimau Malaya.

Kekalahan ini meletakkan Malaysia di tangga ketiga diikuti kedua Vietnam dan Myanmar mengetuai Kumpulan A.