HASRAT Harimau Malaya untuk menamatkan kemarau tanpa kemenangan dalam 10 perlawanan tidak kesampaian apabila sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan Mongolia di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar.

Skuad kebangsaan yang pertama kali dikendalikan oleh ketia jurulatih baharu, Tan Cheng Hoe bagaimanapun berjaya didepan pada minit ke-31 hasil jaringan sendiri kapten Mongolia sebelum Mongolia berjaya mengikat semula kedudukan 1-1 pada minit ke-42.

Akhyar kembali meletakkan skuad kebangsaan di  depan pada separuh masa kedua, namun kelebihan itu hanya bertahan beberapa minit apabila Gankhuyak Ser-Od-Yanjiv berjaya menyamakan kedudukan 2-2 melalui sepakan percuma.

Antara rangkuman menarik perlawanan ini  menyaksikan 10 minit pertama perlawanan berlangsung hambar dengan kedua-dua pasukan agak berhati-hati dalam aspek kawalan bola. Tidak ada sebarang percubaan berbahaya terhasil pada waktu ini.

Namun melepasi tahap itu, pemain-pemain negara dilihat semakin selesa dan mula melakukan serangan demi serangan ke arah kubu Mongolia.

Ahmad Hazwan Bakri berjaya memperoleh peluang terbaik membuka tirai gol pada minit ke-12, namun sepakan derasnya berjaya ditepis penjaga gol. Bola muntah itu bagaimanapun berjaya disambar Natxo Insa, namun sepakannya tersasar jauh dari gawang.

Serangan demi serangan terus dilancar pemain negara, namun disiplin pertahanan Mongolia harus dipuji apabila berjaya mematahkan beberapa percubaan yang dilakukan.

Gol yang dicari-cari akhirnya muncul pada minit ke-31. Berpunca daripada sepakan sudut, kapten Mongolia, Turbat Daginaa tertanduk bola ke gawang sendiri. Semuanya berpunca daripada tekanan yang dikenakan oleh Fadhli Shaas.

Tidak berpuas hati dengan satu gol, pemain negara terus melancarkan serangan untuk meletakkan kedudukan selesa buat negara.

Pada minit ke-38, Safawi berjaya melepasi pertahanan Mongolia dan bertembung dengan penjaga gol dalam aksi satu lawan satu. Bagaimanapun percubaannya berjaya dihalang penjaga gol pelawat.

Tersentak dengan serangan demi serangan ke gawang mereka, Mongolia sesekali berjaya melakukan serangan balas untuk memburu gol penyamaan.

Usaha mereka ternyata membuahkan hasil apabila Enkhbileg Purevdorj berjaya mengikat kedudukan 2-2 di minit ke-41 berpunca daripada kesilapan yang dilakukan Mahali Jasuli.

Tiga minit selepas itu, gawang Malaysia sekali lagi teruji apabila pertahanan Malaysia melakukan dua lagi kesilapan individu. Mujurlah tidak ada sebarang gol terhasil dan keputusan seri 2-2 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, Tan Cheng Hoe memasukkan Akhyar Rashid bagi menggantikan Mahali Jasuli.

Kemasukan Akhyar jelas memberi dimensi baharu kepada corak serangan Harimau Malaya apabila beberapa percubaan menarik berjaya dihasilkan.

Pada minit ke-55 Akhyar berjaya mencuri peluang melorongkan bola cantik ke arah Hazwan, namun sayang, tolakan Hazwan tersasar ke kiri pintu gol.

Corak permainan menarik mula dipamerkan hasil gandingan Safawi dan Akhyar, namun ketumpulan penyudah dan kekentalan barisan pertahanan Mongolia berjaya menggagalkan usaha Malaysia mencari gol kedua.

Selepas percubaan demi percubaan dilakukan, Malaysia akhirnya berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Akhyar Rashid.

Gol itu terhasil melalui gerakan individu Akhyar yang bijak mencari peluang dan melakukan rembatan cantik dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Mongolia.

Belum sempat skuad negera bergembira dengan gol tersebut, Mongolia kembali menyamakan kedudukan 2-2 beberapa minit selepas itu berpunca daripada sepakan percuma.

Gankhuyak Ser-Od-Yanjiv berjaya melakukan sepakan terus ke arah gawang menewaskan Haziq Nazli yang tidak berada di posisi yang tepat.

Harimau Malaya yang tersentak terus melakukan serangan demi serangan untuk mencari gol kemenangan.

Satu percubaan Natxo Insa terkena tiang dan satu lagi sepakan deras daripada Wan Zack Haikal bagaimanapun gagal diterjemahkan menjadi gol untuk skuad negara.

Wan Zack sekali lagi memperoleh peluang menjaringkan gol ketiga Malaysia, bagaimanapun sepakan percuma yang diambilnya sekadar menggegar palang.

Keputusan seri 2-2 kekal sehingga tamat 90 minit perlawanan, sekali gus menyaksikan Harimau Malaya terus kempunan mencari kemenangan dalam aksi antarabangsa.

Bagaimanapun, tugas pertama Cheng Hoe selaku ketua jurulatih harus dipuji melalui taktikal hantaran pendek yang diterapkan kepada pemain negara.

Apa pun, diharapkan skuad kebangsaan kita dapat bangkit pada aksi persahabatan seterusnya nanti.