PENYERANG Harimau Malaya, Shahrel Fikri Md Fauzi mengharapkan terus diberikan peluang mengisi kesebelasan utama seperti penampilan pertama di Hanoi, Jumaat lalu menjelang kunjungan Myanmar saingan terakhir peringkat Kumpulan A di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Biarpun terkilan kerana tidak dapat membantu Harimau Malaya meneruskan rentetan kemenangan kempen ke atas pesaing  kumpulan Piala AFF Suzuki Vietnam, namun pemain yang beraksi untuk Nakhon Ratchasima dalam Liga Thailand itu bersedia membalas kepercayaan seandainya diturunkan pengendali Tan Cheng Hoe Sabtu ini.

"Kali pertama diturunkan sememang gugup tetapi pengalaman buat saya. Memang terkilan kerana tidak menjaringkan gol untuk membantu pasukan.

"Jadi saya harap terus diberikan kepercayaan untuk aksi menentang Myanmar Sabtu ini di laman sendiri," jelasnya.

Shahrel Fikri diturunkan dalam kesebelasan utama, namun digantikan dengan Hazwan Bakri minit ke-62 dalam aksi yang menyaksikan Harimau Malaya kecundang 2-0 kepada skuad Naga Emas berkenaan.

Mengenai perlawanan hidup mati menentang pendahulu kumpulan Myanmar,  Shahrel Fikri tetap percaya Harimau Malaya tetap berpeluang melakar kemenangan.

"Kami kena bangkit memperbaiki kesilapan tiga perlawanan sebelum ini, aksi menentang Vietnam kami mengawal perlawanan, namun gagal menjaringkan gol.

"Jika diberikan peluang saya akan beri tumpuan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan  Harimau Malaya," jelasnya.