PENYOKONG Kedah terkejut dengan kenaikan harga tiket bagi suku akhir Piala FA di Stadium Darul Aman selepas ia ditularkan di media sosial.

Menjawab persoalan itu, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tampil mengesahkan perkara tersebut.

Perubahan harga tiket perlawanan di Stadium Darul Aman melibatkan peringkat suku akhir dan separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia musim 2017 iaitu Terbuka RM15, Berbumbung RM30 dan Astaka Utama RM40.

Menurut mereka, hebahan media sudahpun dilakukan oleh pihaknya sejak 7 Disember 2016 selepas keputusan itu dipersetujui melalui keputusan sebulat suara Kongres Tahunan KFA 2016 bagi sidang ke-41.

"Ahli majlis eksekutif dan ahli gabungan KFA membuat keputusan bersetuju sebulat suara untuk menaikkan harga tiket yang hanya melibatkan bagi perlawanan tumpuan tinggi iaitu peringkat suku akhir dan separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia bermula 2017.

Bagaimanapun, Perlawanan Liga Super, peringkat pusingan awal kumpulan Piala FA dan dan aksi kumpulan TM Piala Malaysia bagi musim 2017 harga tiket (termasuk GST) masih kekal iaitu Terbuka RM10, Berbumbung RM20 dan Astaka Utama RM30," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shahrol Niza Omar yang berada di luar negara ketika dihubungi berkata, keputusan harga tiket itu telah mendapat persetujuan oleh 13 Ahli Majlis Eksekutif dan 37 badan gabungan persatuan tersebut.

"Keputusan kongres menaikkan harga tiket masih kekal melainkan ada keputusan saat akhir sebelum perlawanan Suku Akhir bermula pada 31 Mac atau 1 April nanti," katanya kepada Sinar Harian

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.