KEMENTERIAN Belia dan Sukan mengharapkan sokongan semua pihak dalam usaha kerajaan meningkatkan kualiti sukan negara.

Menterinya, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, kerajaan sentiasa memerlukan sokongan dalam menggerakkan gelombang era kesukanan baharu.

"Oleh itu, kita memerlukan rakyat seluruh negara bersama-sama memartabatkan semangat sukan negara kerana sukan merupakan ejen perpaduan yang efektif," katanya ketika menyampaikan sembah ucapan sempena majlis perasmian Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Stadium Perak, hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Syed Saddiq turut menyampaikan mesej khas kepada semua atlet yang bertanding dalam Sukma kali ini agar memberi tumpuan sepenuhnya, membuktikan kebolehan mereka menyaingi atlet-atlet kebangsaan yang mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

"Bertanding wakili negeri masing-masing saya nak lihat anda mewakili Malaysia pada masa hadapan dan gegarkan negara dengan semangat kejayaan anda," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri menaruh harapan tinggi agar temasya Sukma kali ini menjadi pentas mencungkil bakat-bakat baharu negara.

Katanya, harapan itu seiring dengan aspirasi di bawah kementerian  agar obor perjuangan atlet senior di peringkat antarabangsa dapat diteruskan.

"Tinggi juga harapan kita agar ada kalangan bintang-bintang muda ini menyinar sehingga ke peringkat Olimpik dan kejohanan dunia suatu hari nanti.

"Kita mengharapkan penantian kilauan emas Sukan Olimpik akan digenggam daripada bintang yang bakal lahir dari temasya Sukma ke-19 ini," katanya.