KUALA TERENGGANU - Seramai 276 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai unit termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan ditugaskan mengawal Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sepanjang aksi perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dan Kedah malam ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, langkah itu adalah bagi mengawasi keadaan di luar dan di dalam stadium agar tiada sebarang kekacauan berlaku.

"Saya menyeru penyokong kedua-dua pasukan supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan dan pergaduhan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap penonton yang sengaja mencetuskan kekacauan.

Idris juga meminta para penyokong supaya hadir lebih awal ke stadium bagi menggelakkan kesesakan lalu lintas dan kekecohan disaat akhir.

Katanya pintu stadium mula dibuka pada pukul 6 petang dan dua skrin besar turut dipasang di luar stadium.

Difahamkan kira-kira 10,000 keping tiket habis dijual dalam tempoh satu jam sejak kaunter tiket dibuka bermula jam 10 pagi tadi. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.