ATLET lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail tekad  mahu mencipta rekod baharu kebangsaan di temasya sukan besar seperti Sukan Komanwel yang bakal berlangsung di Gold Coast, Australia pada bulan depan.

Muhammad Hakimi, 26, yang merupakan pemegang rekod Sukan SEA acara lompat kijang, berkata beliau mahu mencipta kelainan dan memuaskan hatinya dengan memperbaharui rekod kebangsaan di kejohanan selain Sukan SEA.

"Kesemua rekod kebangsaan saya dibuat di Sukan SEA...tiga kali di Sukan SEA, jadi kali ini saya bersungguh-sungguh mahu cipta rekod di temasya sukan lain. Lagi pun Sukan Komanwel dan Sukan Asia kejohanan lebih tinggi statusnya berbanding Sukan SEA, jadi secara automatik ia dapat memuaskan hati saya.

"Untuk tingkatkan prestasi, bukan hanya di peringkat Asia Tenggara, saya perlu buat lompatan lebih jauh dan berada setanding di peringkat Sukan Komanwel pula," katanya pada sidang media Program Podium di Institut Sukan Negara (ISN) di sini, hari ini.

Selain  berhasrat memperbaharui catatan terbaik sejauh 16.77 meter yang juga rekod kebangsaan, atlet kelahiran Taiping, Perak itu juga mahu meraih pingat tanpa mengira warna pada Sukan Komanwel 2018.

Muhammad Hakimi yang bakal membuat penampilan pertama di Sukan Komanwel kali ini, berkata perkara penting  sebelum turun beraksi pada temasya sukan berkenaan adalah dengan memastikan beliau tidak mengalami sebarang kecederaan semasa latihan.

Dari segi persiapan, katanya, beliau perlu memantapkan teknik lompatan bagi memastikan hasratnya itu tercapai.

Muhammad Hakimi yang dijadual beraksi pada 12 April di Sukan Komanwel, akan menghadapi cabaran sengit daripada atlet England, India, Bahamas, Afrika Selatan dan Nigeria.

"Kalau lihat kepada catatan, rekod saya dan pencabar lain tidak jauh berbeza. Contohnya kalau beza catatan lebih kurang 50 sentimeter, itu dikira tidak  jauh, masih berpeluang untuk atasi rekod tersebut,” katanya.

Sementara itu, jurulatih dari Rusia, Victor Sotnikov yakin Muhammad Hakimi sudah bersedia untuk mempamerkan aksi terbaiknya pada Sukan Komanwel akan datang.

"Prestasi Hakimi semakin baik, banyak peningkatan. Beliau berada di tahap lebih kurang sama dengan pencabarnya yang lain dan beliau sendiri sudah bersedia.

"Jika ditanya mengenai peluang raih pingat sama ada cerah atau tidak, saya tidak boleh jawab pada masa ini. Kena tunggu dan lihat, namun saya harap dia boleh membuat lompatan lebih jauh berbanding sekarang," katanya. - Bernama