PELUMBA Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah tidak menganggap sasaran untuk berada dalam kelompok lima teratas pada musim depan sebagai suatu tugas berat.

Hafizh yang akan beraksi bersama pasukan baharu, Petronas Sprinta Racing itu berkata berdasarkan prestasi pada musim 2016 dan tahun ini, beliau mampu memenuhi target itu.

“Saya rasa tidak begitu berat (lima teratas). Dari segi prestasi pada 2016, saya beraksi agak baik walaupun gagal menaiki podium.

Pada musim ini, walaupun agak payah tapi saya dapat beraksi dengan baik serta berjaya menaiki podium dua kali,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman kerjasama strategik antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Pada pengumuman itu hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali menetapkan KPI untuk pelumba berusia 23 tahun itu iatu berada dalam kelompok kelima teratas pada musim 2018.

Jika Hafizh berjaya mencapai sasaran , pelumba kelahiran Ampang itu mempunyai jaminan lebih cerah untuk berlumba dalam kelas yang lebih tinggi iaitu kelas MotoGP.

Dalam pada itu, Hafizh berkata beliau telah bersedia untuk menghadapi musim depan bersama pasukan baharu dan mahu melupakan detik sukar yang dihadapi pada musim ini.

Hafizh yang hampir 10 tahun bersama pasukan Petronas Raceline Malaysia, berkata penghijrahan beliau ke pasukan lain adalah untuk menimba pengalaman baharu di samping mencabar tahap kemampuan diri.

“Saya amat berterima kasih kepada Raceline kerana banyak membantu saya dalam kerjaya. Pertukaran ini kerana saya perlukan pengalaman baharu, cuba benda baharu supaya dapat tengok kemampuan saya.

Saya cuba melangkah ke hadapan untuk masa hadapan saya dan saya harap akan dapat buat lebih baik lagi,” katanya.

Hafizh berkata Razlan juga memaklumkannya bahawa beliau akan ke Barcelona selama tiga hingga empat minggu pada Januari untuk latihan dengan jurulatih dari Sepanyol bersama pelumba Moto3 pasukan itu Adam Norrodin, katanya.

Hafizh menduduki tangga ke-11 dengan mengutip 86 mata selepas mengharungi 16 pusingan perlumbaan.

Malaysia akan menjadi tuan rumah perlumbaan MotoGP untuk pusingan ke-17 di Litar Sepang pada 27 hingga 29 Oktober ini. - Bernama

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, mahu menamatkan musim perlumbaan 2017 dengan berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, sebelum beliau beralih ke pasukan baharu musim depan.
  • PELUMBA Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah sah menyertai ‘Petronas Sprinta Racing’, bermula musim depan.
  • BINTANG Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah menerima tawaran Project X Racing Team untuk menyertai perlumbaan pengakhir musim, Kejohanan Superbike Malaysia Pirelli di Litar Antarabangsa Sepang dari 2 hingga 4 Disember ini.
  • PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin sedia meningkatkan aksinya dalam usaha mendapatkan keputusan lebih baik apabila siri Kejohanan Moto2 Dunia disambung semula di Grand Prix (GP) Jerman, minggu ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.