KEJAYAAN pelumba Moto3 Zulfahmi Khairuddin memberi suntikan semangat kepada pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah untuk turut beraksi cemerlang dalam perlumbaan Motosikal Grand Prix Malaysia di Litar Sepang hari ini.
   
Hafizh Syahrin yang berlumba atas tiket 'wild card' menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan 15 daripada 19 pusingan selepas perlumbaan tersebut terpaksa dihentikan berikutan hujan lebat.
   
Hafizh Syahrin mencatat masa 37 minit 00.734 saat.
   
"Selepas Zulfahmi berjaya meraih tempat kedua pada perlumbaan Moto3, kejayaan beliau memberi suntikan semangat kepada saya untuk berada di hadapan.

Tiada erti putus asa dan memang kegemaran saya berlumba dalam hujan.
   
"Saya percaya pada diri yang saya boleh buat di hadapan penonton, saya tidak berputus asa untuk pergi lebih ke depan," kata Pelumba Petronas Raceline Malaysia itu kepada pemberita di Pusat Media Sepang International Circuit (SIC).
   
Pelumba Republik San Marino, Alex De Angelis dari pasukan NGM Mobile Forward Racing menjuarai perlumbaan Moto2 selepas mencatatkan masa terpantas 36' 57.793s.
 
Tempat kedua menjadi milik pelumba Australia, Anthony West dari pasukan QMMF Racing Team dengan masa 36'58.503s manakala pelumba Great Britain, Gino Rea dari pasukan Federal Oil Gresini Moto2 di tempat ketiga dengan catatan masa 36'59.156s.
  
Bermula di petak ke-27, pelumba berusia 18 tahun itu mempamer aksi berani apabila berjaya mendahului perlumbaan di pusingan ke sembilan, sepuluh dan sebelas sekaligus mendapat sorakan gemuruh hampir 70,000 peminat sukan permotoran.
   
Bagaimanapun kedudukan itu gagal dipertahankan ekoran keadaan tayar mengalami masalah menyebabkan jenteranya sukar berfungsi dengan baik dalam keadaan hujan lebat.
   
"Semasa perlumbaan saya cuba dapatkan keyakinan. Di pusingan keenam, jentera ada masalah pada tayar belakang kerana saya guna 'full break' dan ketika di selekoh, tayar ada koyak sedikit. Apabila hujan kembali turun, saya terpaksa kawal jentera," katanya.
   
Hafizh Syahrin berkata beliau juga berpuas hati apabila berjaya berada di hadapan pesaingnya dari Sepanyol, Jordi Torres dari pasukan Mapfre Aspar Team Moto2.
   
"Sasaran selepas ini mengatasi Torres di pusingan akhir Kejohanan Motosikal Kebangsaan CEV Buckler di Valencia, Sepanyol. Saya juga mahu memberikan saingan sengit kepada Torres dalam trek yang kering," katanya.  - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.