JAGUH futsal tempatan berpeluang mempamerkan kehebatan masing-masing seterusnya meraih habuan RM4,000 di pentas Futsal Amatur MKLand/MBPJ Terbuka Petaling Jaya di Samba de Futsal pada Sabtu ini.

Setiausaha kejohanan, Zey Iskandar Mohd Jalil berkata, sambutan diterima pihaknya bagi edisi ketujuh merebut Piala Datuk Bandar Petaling Jaya itu amat menggalakkan dalam kalangan pasukan futsal setempat dan luar Selangor.

Menurutnya, edisi anjuran bersama Kelab Sukan dan Kebudayaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (KSDK MBPJ), PAN, MKLand dan Sinar Harian ini mempertandingkan dua kategori iaitu Kategori Terbuka Lelaki dan Kategori Bawah 18 Tahun.

"Bagi kedua-dua kategori ini penganjur menghadkan penyertaan kepada 24 pasukan sahaja dengan syarat pemain mewakili Malaysia atau terlibat dengan Liga Futsal Kebangsaan dari 2010 hingga 2018 tidak dibenarkan mengambil bahagian.

"Pasukan yang berminat mengambil pemain asing, hanya dibenarkan mengambil seorang pemain asing sahaja," katanya.

Yuran penyertaan bagi Kategori Terbuka Lelaki yang menawarkan hadiah juara RM4,000 (wang tunai RM2,000 + RM2,000 barangan sukan PAN, naib juara RM2,000 (wang tunai RM1,000 + RM1,000 barangan sukan PAN, ketiga keempat RM600 adalah RM250.

Sementara bagi Kategori Bawah 18 Tahun yang menawarkan hadiah juara RM1,000, naib juara RM600, ketiga keempat RM300 mengenakan yuran penyertaan RM100.

Kepada mereka yang ingin mengetahui maklumat lanjut kejohanan yang tarikh tutup penyertaan pada 22 November ini boleh menghubungi Zey Iskandar Mohd Jalil di talian 012-366 1062.