LTdL 2012
$entry.content.caption.value

HARAPAN pelumba negara, Anuar Manan yang kini bersama pasukan Champion System (Hong Kong) bagi mengulangi kejayaan merangkul jersi biru selaku raja pecut dua tahun lalu mungkin sedikit sukar.

Ini kerana, penyandang raja pecut tahun lalu, Andrea Guardini mengesahkan penyertaan bertanding dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi-17, bermula 24 Februari hingga 4 Mac depan.
 
Namun, Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal tetap percaya Anuar mampu melakukan kejutan pada edisi kali ini.
 
“Kemenangan Anuar pada edisi lalu sedikit dipertikaikan segelintir peminat kerana perlumbaan pada masa itu tidak disertai pelumba hebat dan handalan dunia. 
 
“Tetapi, kita patut berbangga kerana Malaysia mempunyai Anuar yang muncul sebagai pelumba pertama dari Asia pernah memenangi jersi pecut pada 2010.
 
“Malah, kehadiran Guardini pasti menjadikan jelajah kali ini lebih mencabar khususnya kepada Anuar.” katanya pada majlis penyerahan tajaan LTdl 2012 di Subang Jaya, semalam.
 
Sementara itu, Proton Holdings Berhad menyerahkan penajaan rasmi 150 kereta pelbagai model keluarannya sebagai kereta rasmi LTdl pada tahun ini, yang akan digunakan oleh penganjur, pasukandan media sepanjang 10 peringkat jelajah itu nanti.
 
Hadir sama pada majlis penyerahan itu, Pengarah Kumpulan Pemasaran, Jenama dan Motosports Proton, John D Chanco dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.