MORGARO Gomis masih berada dalam perancangan The Red Warriors (TRW) meskipun digugurkan pada pintu pendaftaran pertama Liga Malaysia (Liga-M), berakhir 11 Februari lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, ujian Pengimejan Resonan Magnetik (MRI) ke atas Gomis mengesahkan dia mengalami kecederaan, baru-baru ini.

Bagaimanapun, pemain import Senegal itu akan dibawa masuk semula sekiranya dia sihat sepenuhnya apabila jendela perpindahan kedua, disingkap pertengahan Mei nanti.

“Ya, keputusan MRI itu menunjukkan ada sedikit koyakkan kecil tahap dua di paha yang memerlukan Gomis berehat untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu.

“Walaupun namanya dikeluarkan sebelum pendaftaran pertama itu ditutup namun dia masih kekal dalam perancangan pasukan ini,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau mendedahkan, pemain tengah bertahan berusia 33 tahun itu memiliki semangat kental mahu beraksi sekalipun dibelenggu masalah kecederaan, sejak sebulan lalu.

“Gomis ni kuat, sakit pun masih nak main lagi. Sebenarnya sebelum aksi persahabatan menentang Buriram United lagi dia sudah cedera dan sebab itu tidak dapat diturunkan.

“Kafa tak mahu ambil risiko kerana takut kecederaan itu makin teruk. Malah dia sendiri tahu keputusan MRI itu memerlukannya berehat dan kita sebolehnya mahu dia pulih sepenuhnya walaupun ambil masa panjang,” katanya.

Pada masa sama, Bibi Ramjani memberi peringatan kepada dua pemain import iaitu Bruno Lopes dan Do Dong-hyun untuk membuktikan kemampuan mereka atau berdepan penyingkiran, pada pertengahan musim ini.

“Kita akan nilai dua pemain itu kerana kuota import hanya membenarkan sesebuah pasukan mendaftarkan lima (pemain) sahaja dan mereka perlu menyumbang sesuatu untuk Kelantan dalam tempoh tiga bulan ini,” katanya.