PENYERANG import Kelantan, Mohammed Ghaddar tampil merendah diri biarpun dia sekali lagi mencetuskan sensasi setelah meledak empat gol ketika membantu pasukannya membelasah Pulau Pinang 5-1 pada aksi Liga Super, malam kelmarin.

Tampil selaku penjaring terbanyak liga dengan 16 gol, Mohammed Ghaddar mengakui walaupun dia lebih menonjol berbanding pemain lain, namun semua jaringan yang terhasil itu datang daripada bantuan dan sokongan rakan sepasukannya.

“Sejak bersama Kelantan pada musim 2012, saya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik. Saya tidak ada niat bermain secara individu, biarpun sebagai pemain saya cuba mahu kekalkan rekod peribadi (penjaring terbanyak) kerana itu bagus untuk karier saya jika mendapat panggilan menyertai skuad kebangsaan (Lubnan).

“Apabila saya menjaringkan satu, dua atau tiga gol, itu adalah keperluan pasukan dan bukan untuk diri sendiri. Saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan terutamanya Piya (Mohd Badhri Radzi) dan Indra Putra (Mahayuddin) kerana banyak membantu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Mohammed Ghaddar dua kali mencipta hatrik ketika bertemu Perak serta T-Team dan terbaharu pada aksi di Batu Kawan, malam kelmarin, pemain yang sering dilabelkan suka mementingkan diri sendiri oleh penyokong Kelantan itu terus menggila apabila mencetak empat gol.

Penyerang berusia 33 tahun itu merobek gawang sebanyak empat kali pada minit ke-19, 25, 57 dan 78 disusuli gol kelima, Mohd Danial Ashraf Abdullah (m-90) manakala gol tunggal tuan rumah menerusi Mohd Syukor Saidin (m-35).

Menurutnya lagi, tidak ada guna jika dia menjaringkan banyak gol sedangkan skuad pantai timur itu sendiri gagal mempamerkan aksi konsisten pada saingan musim ini.

“Kelantan tidak pernah kalah di tempat lawan, tetapi rekod kami sangat buruk di laman sendiri dan itulah yang berlaku dalam bola sepak. Sebanyak mana anda jaringkan gol, kalau nasib tak menyebelahi kita, Kelantan tetap akan kalah,” katanya.

Sementara itu, Pengendali The Red Warriors, Zahasmi Ismail tidak terkejut dengan empat gol sumbangan bekas penyerang import Felda United FC musim 2013 itu kerana Mohammed Ghaddar sememangnya mempunyai naluri selaku pembunuh senyap.  

“Memang saya rasa dia akan menjaringkan gol, tetapi tidaklah sehingga empat gol. Itulah kelebihan Mohammed Ghaddar, dia seorang gifted (berbakat), perwatakannya nampak bersahaja, tetapi ternyata dia kini menjadi mesin gol pasukan ini,” katanya.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.