"SANGAT gembira".  Itulah sahaja yang mampu diucapkan Mohd Nor Hafis Abd Aziz  selepas pemain Perak, Hafiz Kamal memenuhi impian anaknya, Muhammad Ariffudin Mohd Nor Hafis yang menderita kanser tahap empat untuk menemui idolanya menjadi kenyataan.

Muhammad Ariffudin yang bakal buta dalam masa terdekat bertemu Hafiz di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, jam 12 tengah hari semalam.

Dalam pertemuan itu Hafiz meluangkan masa hampir sejam dengan Muhammad Ariffudin.

Mohd Nor Hafiz berkata, beliau terharu impian anaknya untuk berjumpa dengan Hafiz dapat ditunaikan sebelum mata kanak-kanak berusia sembilan tahun itu buta.

"Gembira, terharu, sebak semua ada. Saya sangat bersyukur kerana Hafiz sudi untuk berjumpa dengan anak saya dan menggembirakan dia sebelum matanya buta.

"Walaupun dalam keadaan lemah kerana menjalani rawatan radioterapi, namun Muhammad Ariffudin kelihatan bersemangat sebaik bersalaman dengan Hafiz.

“Sebelum ini anak sering menyebut nama Hafiz setiap kali menahan kesakitan semasa menjalani radioterapi dan akhirnya impian bertemu idolanya menjadi kenyataan,” katanya.

Muhammad Ariffudin murid Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Meru, Klang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Februari lalu berikutan keadaan sel kanser yang semakin merebak dan biji mata kiri yang tersembul (kanser sarcoma).

Sementara itu, Hafiz teruja dapat menunaikan hasrat peminatnya ciliknya untuk bertemu dengannya.

Menurut Hafiz, sebaik mengetahui hasrat Muhammad Ariffudin, beliau terus merancang untuk melawatnya selepas tamat perlawanan menentang Kelantan, semalam.

“Alhamdulillah hari ini (semalam) saya sempat melawat dia. Walaupun dengan jadual padat tapi saya tetap meluangkan masa kerana saya takut jika terus tangguh, hasrat itu gagal ditunaikan.

"Jadi, selepas berbincang akhirnya saya dapat jumpa dia. Saya harap pertemuan ini dapat memberi sedikit kegembiraan untukknya.

"Saya juga mendoakan kesihatan Muhammad Ariffudin kembali normal dan seterusnya pulih daripada penyakit dialaminya,” katanya

Katanya, beliau kagum semangat Muhammad Ariffudin melawan penyakit dihidapinya walaupun doktor memberitahu penyakitnya itu tidak dapat dirawat.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.