KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) masih dalam proses rundingan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Korea Utara (PRKFA) bagi memutuskan gelanggang untuk perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul yang dihubungi Bernama hari ini berkata, pihaknya masih lagi berbincang dengan kedua-dua badan induk bola sepak itu dan kata sepakat mengenainya akan diketahui hujung minggu ini.

"Kami akan mengumumkan sesuatu pada pada hujung minggu ini dan pada masa ini perbincangan masih berterusan bagi mencapai kata sepakat," katanya.

Sementara itu, Windsor enggan mengulas ketika ditanya mengenai kedudukan Korea Utara yang akan menjadi tuan rumah perlawanan terbabit di saat mereka mempunyai hubungan buruk dengan Amerika Syarikat yang mungkin mengakibatkan campur tangan ketenteraan.

"Saya tiada komen mengenai perkara itu," katanya ringkas.

Sebelum ini  Korea Utara diberi tempoh sebulan bermula 15 Mac lepas oleh AFC untuk mencadangkan satu gelanggang berkecuali bagi perlawanan itu.

Skuad Malaysia yang sebelum ini dilatih Datuk Ong Kim Swee, dijadualkan menentang Korea Utara dalam perlawanan Kumpulan B kelayakan Piala Asia di Stadium Kim Il-sung di Pyongyang pada 28 Mac lalu.

Bagaimanapun, ketegangan politik berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, iaitu abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu menyebabkan kerajaan Malaysia melarang skuad itu daripada beraksi di sana atas faktor keselamatan.

Berikutan itu, FAM mengemukakan permohonan kepada AFC pada 13 Mac lepas, untuk mengadakan perlawanan tersebut di gelanggang berkecuali. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SKUAD Bawah-19 (B-19) negara mencerahkan peluang layak ke Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018, selepas membenam Indonesia 4-1 pada aksi kelayakan hari ini.
  • "SAYA harap penyokong lebih berdisiplin, tidak emosi dan jadikan semua itu (denda AFC) sebagai pengajaran."
  • PENGENDALI Harimau Malaya, Nelo Vingada didenda AS$5,000 (RM21,152) oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) susulan tindakannya mengkritik dan mempersoal keputusan pengadil.
  • KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) hari ini mendenda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebanyak AS$42,500 (RM179,784) berikutan kesalahan penyokong semasa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lepas.
  • AKSI Kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2019 di antara Malaysia dan Korea Utara di Pyongyang ditangguhkan selepas Kementerian Luar melarang rakyat Malaysia ke Korea Utara.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.