BEREGU campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying,  akan berganding semula pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2018 di sini dari 16 hingga 21 Januari depan.

Perkara itu disahkan oleh Peng Soon pada sidang media bagi memperkenalkan peman Kelab Badminton Ampang Jaya di sini hari ini.

Gandingan pemenang pingat perak Sukan Olimpion Rio 2016 berkenaan sebelum ini terpaksa dipisahkan berikutan kecederaan bahu berlarutan yang dialami oleh Liu Ying dan memaksa Peng Soon digandingkan bersama pemain muda, Cheah Yee See.

Menurut Peng Soon, beliau berharap penampilan semula beliau bersama Liu Ying dapat bertahan lama serta mereka dijauhi daripada kecederaan yang boleh menjejaskan prestasi masing-masing.

"Saya memang berharap dapat kembali beraksi bersama Liu Ying bagi mendapat keputusan yang cemerlang, janji beliau (Liu Yong) bebas dari kecederaan," katanya sambil berseloroh.

Sementara itu, aksi terakhir Peng Soon bersama Yee See adalah [pada kejohanan Korea Masters di Gwangju City dari 28 November hingga 3 Disember ini.

"Saya pasti beliau mempelajari sesuatu semasa bersama saya dan untuk menjadi pemain yang baik, banyak lagi yang perlu dipelajari oleh beliau (Yee See)," katanya. –Bernama