PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia di atas keterujaannya meraikan kejayaan Perak memenangi Piala Malaysia, Sabtu lalu sehingga mencetuskan kontroversi.

Hasnul Zulkarnain yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak berkata, beliau mengakui kekhilafan dirinya sewaktu bergambar dengan trofi Piala Malaysia ketika makan mi segera di dalam bilik hotel dan di tepi kolam renang sebagaimana tular dalam laman sosial.

Menurutnya, beliau menyedari gambar tersebar dalam laman sosial itu dikritik netizen dari seluruh negara kerana seolah-olah perbuatannya cuba dianggap merendahkan martabat piala berprestij itu.

"Justeru, saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kekhilafan dan kelemahan diri kerana terlalu teruja selepas Perak berjaya memenangi trofi tersebut.

"Saya tiada niat untuk menjatuhkan martabat dan keunggulan trofi bola sepak kebanggaan negara itu dan gambar-gambar tersebar itu pun sebenarnya hanya simpanan peribadi sebelum disebarkan pihak lain tanpa saya sedar.

"Itu kelemahan saya sendiri, pertama kali menang Piala Malaysia dan saya teruja lalu terkongsi gambar dalam Status WhatsApp," katanya kepada media dalam majlis perarakan trofi Piala Malaysia di atas bas dua tingkat di sekitar bandar Parit Buntar di sini hari ini.

Program itu diadakan sempena pelancaran Karnival Sinar Harapan yang akan diadakan pada 3 dan 4 November di Dataran Pinggiran Sungai Kerian di sini.

Hasnul Zulkarnain berkata, beliau juga tiada niat berkongsi gambar tersebut dengan netizen di laman sosial.

"Gambar tersebut dirakamkan di hotel penginapan selepas perlawanan akhir Sabtu lalu.

"Saya tak sangka ada pihak yang mengambil gambar tersebut di WhatsApp Status saya dan memuat naik di Facebook," katanya.  

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain meminta semua pihak tidak mempertikaikan kejayaan Perak memenangi Piala Malaysia dan menerima hakikat kejayaan tersebut.

Menurutnya, isu dibangkitkan iaitu kelemahan pengadil dan persoalan selepas penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy tidak berada di atas garisan gol sebelum bola disepak tidak harus dimainkan.

"Terdapat pengadil dan dua pembantunya yang mengendalikan penentuan sepakan penalti dan tiada di antara mereka mengatakan kedudukan Hafizul Hakim satu kesalahan.

"Pengadil sudah membuat keputusan dalam perlawanan tersebut dan ia muktamad, jadi terimalah hakikat Perak adalah juara," katanya.