SKUAD negara menempah tiket ke final Kejuaraan Futsal AFF selepas mengatasi Vietnam 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir di Gedung Olahraga (GOR) Universitas Negeri Yogyakarta, Indonesia, hari ini.

Perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 selepas tamat masa perlawanan sebenar, demikian menurut laman sesawang AFF; www.aseanfootball.org.

Pada perlawanan berkenaan, skuad futsal negara mendahului 2-0 hasil jaringan Mohd Azwann Ismail pada minit kelima dan Muhammad Azri Rahman pada minit ke-26 sebelum Vietnam menyamakan kedudukan hasil jaringan Vo Quoc Hung pada minit ke-30 dan Nguyen Thanh Tin pada minit ke-40.

Malaysia bakal berdepan Thailand pada aksi final, Ahad ini setelah juara bertahan itu menang tipis 3-2 ke atas Indonesia pada satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung lebih awal di venue yang sama.

Pertemuan Malaysia-Thailand ini, memberikan peluang kepada Malaysia untuk menebus kekalahan mereka kepada negara itu selepas pasukan negara tewas 3-4 pada final 2017. - Bernama